fbpx

Akibatkan kematian, kecederaan pekerja: Dua syarikat didenda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Dua syarikat, masing-masing didenda RM30,000 dan RM20,000, kerana gagal menyediakan persekitaran kerja yang praktik dan selamat sehingga mengakibatkan kecederaan serta kematian kepada pekerja di premis mereka.

Kedua-dua syarikat itu dijatuhi hukuman tersebut oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.

Hakim Ahmad Fuad Othman menjatuhkan hukuman berkenaan kepada syarikat Lotte Ube Synthetic Rubber Sdn. Bhd. dan syarikat Muara Atur (M) Sdn. Bhd. (Muara Atur).

Lotte Ube Synthetic Rubber dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM30,000 kerana gagal mengenal pasti bahaya dan mentaksir risiko dengan lengkap berkaitan aktiviti ‘steaming’ jentera.

Kegagalan itu mendatangkan kecederaan kepada pekerja-pekerja kontraktor akibat letupan dan kebakaran dalam satu kejadian pada 8 Disember 2019.

Sementara itu, Muara Atur pula dikenakan denda RM20,000 kerana gagal menyediakan penghadang yang kukuh dan selamat di tepian terbuka bangunan yang sedang dibina.

Akibat kegagalan itu, seorang pekerja subkontraktor maut setelah terjatuh dari tingkat tiga semasa sedang melakukan kerja-kerja pembuangan sampah pada 26 Februari tahun lalu.

Kedua-dua syarikat itu dikenakan hukuman tersebut mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

Kes pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor, Khairul Amin Mohd. Sarmin, Wan Siti Nurfatin Wan Mohd. Ghazali, Mohd. Izharkhairi Mohd. Yusof dan Mohd. Zakuan Fauzi.