800 pegawai, anggota TLDM terima vaksin - Utusan Malaysia

800 pegawai, anggota TLDM terima vaksin

MUHAMMAD Ridzwan Abdul Rahman (tengah) bersama pegawai dan petugas HATL selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 di Pangkalan TLDM Lumut hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Seramai 800 pegawai dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang menjadi petugas barisan hadapan dan dalam operasi-operasi khas seperti Op Benteng dan Op Penawar, menjadi penerima awal vaksin Covid-19 di Pangkalan TLDM Lumut hari ini.

Panglima Armada Barat, Laksamana Madya Datuk Muhamad Ridzwan Abdul Rahman berkata, secara keseluruhan lebih 5,000 pegawai dan anggota di Pangkalan TLDM Lumut akan menerima vaksin.

“Bagaimanapun, buat masa ini kita beri keutamaan kepada anggota-anggota yang berada di kapal dan juga anggota yang ada di markas mengendalikan bilik operasi, bilik komunikasi dan sebagainya, itu yang kita bagi kelebihan dahulu, tetapi akhirnya semua akan dapat vaksin ini cuma masanya sahaja berbeza,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengetuai 36 pegawai TLDM menerima suntikan vaksin pertama di Hospital Angkatan Tentera Lumut (HATL) di sini hari ini.

Yang turut menerima suntikan vaksin itu hari ini termasuk Panglima Pendidikan dan Latihan TLDM, Laksamana Muda Datuk Khalid Jaafar; Komander Pangkalan TLDM Lumut,

Laksamana Muda Datuk Anuar Alias; Panglima Logistik Barat dan Laksamana Pertama Rozaide Mega Othman.

Hadir sama, Pegawai Memerintah HATL, Brigadier Jeneral Dr Faizal Baharuddin.

Muhamad Ridzwan berkata, suntikan vaksin terhadap 800 pegawai dan anggota itu akan dilakukan secara berperingkat.

“Berdasarkan kapasiti di sini, satu hari boleh beri vaksin kepada 150 orang dan mungkin ambil masa dalam tiga bulan, tetapi kita nak percepatkan supaya ia boleh dihabiskan dalam masa sebulan atau setengah bulan,” katanya.

Beliau memuji pemberian vaksin itu sebagai satu inisiatif baik untuk perlindungan barisan petugas hadapan yang ada risiko berinteraksi dengan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan mungkin orang orang menjadi pembawa virus Covid-19.

Sementara itu, katanya, petugas barisan hadapan yang terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di zon utara Semenanjung akan diberi keutamaan menerima suntikan vaksin Pzifer-BioNTech sebanyak 2,340 dos.

Beliau berkata, pemberian vaksin itu secara berkala iaitu dari Fasa 1 hingga Fasa 6 sepanjang bulan ini, sekali gus menunjukkan ATM khususnya TLDM sangat komited dan prihatin dalam menjaga dan menentukan tahap kesihatan anggotanya.

Katanya, HATL merupakan pusat simpanan vaksin dan pusat pemberian vaksin bagi zon utara sekali gus memudahkan pemberian vaksin kepada anggota ATM di zon tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya