80 peratus penduduk Johor disasar terima vaksin dalam fasa 1 dan 2 - Utusan Malaysia

80 peratus penduduk Johor disasar terima vaksin dalam fasa 1 dan 2

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kira-kira 80 peratus penduduk di negeri ini disasarkan akan menerima vaksin Covid-19 menerusi Fasa 1 dan 2 program vaksinasi di Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, proses tersebut masih dilaksanakan ketika ini mengikut perancangan Kementerian Kesihatan.

“Sasaran liputan 80 peratus penduduk dimulai dengan petugas barisan hadapan iaitu kakitangan Kementerian Kesihatan, polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), bomba dan sebagainya menerusi Fasa 1 dan diikuti Fasa 2 April nanti.

“Sehingga semalam (Selasa) seramai 29,548 petugas barisan hadapan telah diberi vaksin,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Vidyananthan memberitahu, bagi Fasa 2, kerajaan negeri sedang melaksanakan advokasi pendaftaran vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera.

Katanya, mengikut laporan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), hanya 784,690 iaitu 27.6 peratus penduduk sahaja yang baru mendaftar dalam MySejahtera.

“Saya berharap agar semua rakyat Johor yang berumur 18 tahun dan ke atas dapat memberi kerjasama dengan mendaftar untuk vaksin Covid-19 ini di MySejahtera. Bagi yang tiada akses telefon bimbit, boleh mendaftar di www.vaksincovid.gov.my atau talian 1800-888-828.

“Diharap juga pelaksanaan pemberian vaksin ini dilaksanakan dengan lancar. Masyarakat diingatkan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi sama-sama membendung penularan wabak ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, terdapat 161 kes baharu positif Covid-19 dicatatkan semalam.

Jelasnya, daripada jumlah itu 41 kes daripada kluster sedia ada manakala 73 kes dari kluster baharu melibatkan tempat kerja iaitu Kluster Jalan Indah Gemilang Satu.

“Sebanyak 21 kes daripada saringan kontak rapat kes positif Covid-19 manakala 25 kes daripada lain-lain saringan Covid-19 dan satu kes import dari luar negara iaitu Filipina.

“Sehingga hari ini, kes positif Covid-19 di Johor yang melibatkan warganegara sebanyak 21,855 kes manakala kes positif Covid-19 yang melibatkan bukan warganegara sebanyak 18,406 kes,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN