PETALING JAYA: Kerajaan akan memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa menerima vaksin menjelang Februari 2022 untuk mengurangkan penularan virus Covid-19 di dalam negara.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, justeru itu program vaksinasi adalah secara sukarela dan diberikan secara percuma kepada semua warga tempatan serta bukan warganegara.
Beliau menjelaskan, ia merupakan usaha Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang merupakan antara ikhtiar melindungi masyarakat daripada virus itu di samping ingin memastikan negara menang dalam pertarungan memerangi wabak tersebut.
“Sehingga 23 Mac lalu, saya difahamkan seramai 6.4 juta daripada penduduk Malaysia telah mendaftar bagi pengambilan vaksin menerusi aplikasi MySejahtera.
“Dari segi penerima vaksin pula, setakat ini jumlah pemberian dos pertama dan kedua ialah sebanyak 481,989 dengan Selangor mencatatkan penerima dos vaksin pertama tertinggi iaitu sebanyak 58,552 manakala Sarawak mencatatkan penerima kedua-dua dos vaksin tertinggi sebanyak 10,166,” katanya ketika berucap dalam Program Pemerkasaan Komuniti secara maya semalam.
Mengulas Program Pemerkasaan Komuniti, Muhyiddin menjelaskan, negara masih mengharungi suatu tempoh sukar dalam memerangi wabak Covid-19 sehingga vaksin belum mencapai sasaran ditetapkan meskipun kes positif baharu semakin menurun.
Ujar beliau, kerajaan mengambil keputusan bahawa pendekatan terbaik menangani penularan jangkitan komuniti dengan memastikan masing-masing meningkatkan usaha dan memainkan peranan sebagai barisan hadapan.
“Namun begitu usaha ini tidak akan dapat mencapai matlamatnya sekiranya tidak disokong setiap lapisan masyarakat. Justeru itu program Pemerkasaan Komuniti ini adalah senjata yang kita ada sejajar langkah bersama-sama membendung penularan virus Covid-19 ini.
“Usaha ini juga selaras dengan strategi dalam Dasar Perpaduan Negara untuk memperkasakan institusi keluarga dan komuniti yang telah saya lancarkan pada 15 Februari lalu,” katanya.
Perdana Menteri menambah, antara inisiatif Program Pemerkasaan Komuniti yang sedang dan bakal digerakkan iaitu mengaktifkan jawatankuasa di peringkat komuniti, membuat hebahan mengenai maklumat Covid-19, membantu pendaftaran program imunisasi kebangsaan, melaksanakan aktiviti pemantauan di kawasan komuniti dan memberi nasihat, teguran serta panduan kepada komuniti.
Katanya, pihak kerajaan telah mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana melalui sekretariat Pengurusan Bencana di peringkat negeri dan daerah untuk menyelaras pelaksanaan Agen Basmi Covid-19 (ABC-19) di lapangan seluruh negara bagi mengoperasikan pendekatan ini.
“Saya amat berharap semua pihak dapat bersama kerajaan dalam memerangi Covid-19 ini. Segala medium dan platform komuniti masing-masing harus digembleng agar komuniti sendiri dapat mengambil tanggungjawab menjaga komuniti masing-masing tanpa memerlukan penguatkuasaan yang ketat oleh kerajaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










