236 hektar tanah terbiar di NS dibangunkan - Utusan Malaysia

236 hektar tanah terbiar di NS dibangunkan

AMINUDDIN Harun menyampaikan bantuan input pertanian kepada 136 penerima pada Majlis Penyerahan Insentif Jaminan Bekalan Makanan Pasca Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 - UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Seluas 236 hektar (ha) tanah terbiar di Negeri Sembilan telah dibangunkan oleh kerajaan negeri pada tahun lalu bagi memastikan jaminan pengeluaran produk pertanian dan asas tani mencukupi.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, inisiatif membangunkan tanah terbiar itu dilakukan dengan kerjasama Jabatan Pertanian Negeri Sembilan dengan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi program tanah terbiar.

“Sebanyak 236 hektar tanah terbiar di seluruh Negeri Sembilan termasuk dusun yang ditinggalkan lebih lima tahun telah diusahakan semula dengan pelbagai jenis tanaman seperti sayur-sayuran dan buah-buahan.

“Ini satu usaha yang baik bagi memastikan bekalan makanan mencukupi dan mencapai hasrat menjadikan Negeri Sembilan sebagai pengeluar produk pertanian utama di Lembah Klang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena Majlis Penyerahan Insentif Jaminan Bekalan Makanan Pasca Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 di sini hari ini.

Menurut Aminuddin, jumlah 236 ha tanah terbiar yang diusahakan pada tahun lalu itu melebihi sasaran 200 ha tanah yang telah ditetapkan kerajaan negeri.

“Sehingga bulan Februari lalu, kita juga telah menerima lebih 200 permohonan daripada petani dan pengusaha terutama golongan muda yang mahu mengusahakan tanah terbiar tersebut.

“Alhamdulillah, kita lihat ramai anak-anak muda yang berminat menceburi bidang pertanian dan kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan RM1 juta bagi program siswazah tani dan petani muda,” katanya.

Jelas Aminuddin, sektor pertanian mampu membawa hasil pulangan yang baik dengan nilai jualan produk pertanian yang tinggi di pasaran.

Pada majlis tersebut, Aminuddin turut menyerahkan faedah serta bantuan input pertanian kepada 136 penerima yang terdiri daripada petani di negeri ini.

Bantuan input pertanian itu merangkumi baja dan peralatan benih dengan nilai keseluruhan RM500,000.

Sementara itu, Aminuddin berkata, petani yang mengusahakan pertanian di tanah terbiar juga sering berhadapan dengan ancaman haiwan seperti babi hutan, kera dan monyet yang merosakkan tanaman mereka.

“Sehubungan itu, kami akan meminta pihak Jabatan Perhilitan bekerjasama dengan Jabatan Pertanian sebagai salah satu langkah memastikan hasil tanaman tidak dirosakkan,” katanya lagi. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.