20 tan lambakan strawberi seminggu - Utusan Malaysia

20 tan lambakan strawberi seminggu

SEORANG pekerja melihat strawberi sejuk beku yang penuh dalam peti simpanan di di Tanah Rata, Cameron Highlands, Pahang. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAMERON HIGHLANDS: Dianggarkan dalam seminggu kira-kira 20 tan metrik strawberi mengalami lambakan di pusat peranginan tanah tinggi di Cameron Highlands di sini.

Difahamkan, lambakan itu membabitkan kira-kira 20 pengusaha buah berkenaan yang berlaku ekoran ketiadaan pengunjung ke situ akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tinjauan Utusan Malaysia di sebuah ladang strawberi di pusat peranginan itu mendapati, ada buah yang busuk di atas pokok dan masak ranum kerana tidak dapat dikutip oleh pengusahanya.

Situasi sedemikian berlaku kerana strawberi yang disimpan terlalu banyak menyebabkan peti simpanan dingin yang dimiliki pengusahanya penuh.

Utusan Malaysia juga difahamkan, ketika pelaksanaan PKP 1.0 lalu, terdapat pengusaha strawberi yang terpaksa membuang kira-kira tujuh hingga lapan tan metrik buah berkenaan kerana rosak dan busuk.

Ia sekali gus membawa kerugian kepada pengusahanya yang mana secara kebiasaannya strawberi dijual antara RM20,000 ke RM30,000 satu tan metrik.

SYED ABD. RAHMAN SYED ABD. RASHID

Pengerusi Persatuan Pekebun Melayu Cameron Highlands, Datuk Syed Abd. Rahman Syed Abd. Rashid berkata, ketika ini beliau tidak tahu bagaimana untuk menyimpan sebahagian besar tuaian buah miliknya kerana kekurangan peti simpanan dingin.

Jelasnya, beliau mempunyai 1.2 hektar ladang strawberi dan kutipan seminggu buah itu adalah tiga tan metrik yang mana dapat dijual kira-kira 800 kilogram sahaja.

“Stok simpanan strawberi sejuk beku saya ketika ini dua tan metrik, peti semua sudah penuh, buah masih banyak atas pokok dan saya kena cari tempat simpan.

“Jika berterusan dua minggu lagi dengan ketiadaan pengunjung ke sini, mungkin ramai daripada kami (pengusaha strawberi) berdepan masalah.

“Saya sendiri sekarang pun menghadapi masalah bayaran gaji pekerja, utiliti dan pinjaman bank,” katanya kepada semalam.

Mengulas lanjut tentang lambakan itu, Syed Abd. Rahman berkata, rata-rata pengusaha di sini, terpaksa memikirkan usaha menjadikannya produk hiliran seperti jem, kordial dan aiskrim supaya strawberi tidak terbuang bagi mengelakkan kerugian berterusan.

Berhubung kerugian, beliau berkata, untuk buah strawberi segar, anggaran kerugian dialaminya adalah kira-kira empat tan metrik setiap bulan yang membabitkan nilai keseluruhan RM60,000.

“Jika membabitkan 20 pengusaha, anggaran kerugian buah segar membabitkan 80 tan metrik sebulan dengan nilai keseluruhannya berjumlah RM1.2 juta.

“Anggaran itu membabitkan harga RM15,000 satu tan metrik pada ketika ini, secara kebiasaannya kami jual antara RM20,000 ke RM30,000 satu tan metrik,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN