Yayasan Bank Rakyat sumbang RM400,000 untuk pelajar B40, mangsa banjir - Utusan Malaysia

Yayasan Bank Rakyat sumbang RM400,000 untuk pelajar B40, mangsa banjir

WAN Junaidi (belakang dua, kanan) hadir menyampaikan replika cek sumbangan dalam satu majlis ringkas di Pejabat Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, di sini hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi menerusi Yayasan Bank Rakyat telah menyerahkan sumbangan sebanyak RM400,00 untuk membantu pelajar B40 dan mangsa banjir.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sebanyak RM200,000 disumbangkan kepada pelajar B40 bersempena dengan pembukaan semula sesi persekolahan pada 4 Mac, minggu depan manakala RM200,000 lagi disumbangkan kepada golongan miskin yang terkesan dengan bencana banjir yang berlaku pada awal bulan Januari lalu.

Katanya, sumbangan itu melibatkan kerjasama antara Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat), SME Bank dan Uda Holdings.

“Sumbangan ini diharapkan dapat membantu meringankan beban keluarga dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak-anak mereka bagi sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam sesi persekolahan kelak.

“Diharapkan lebih banyak entiti korporat dan organisasi lain dapat turut sama membantu dalam memberi bantuan-bantuan sebegini. Ini membuktikan syarikat-syarikat korporat turut mengambil berat terhadap mereka yang memerlukan,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Pengerusi Yayasan Bank Rakyat, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, sumbangan itu juga menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam meringankan beban rakyat.

“Program bantuan persekolahan serta bantuan banjir anjuran Yayasan Bank Rakyat ini merupakan satu aktiviti kemasyarakatan seiring dengan keprihatinan kerajaan dalam memfokuskan kesejahteraan rakyat serta membantu mereka yang memerlukan khususnya yang ditimpa bencana,” katanya.

Replika cek sumbangan ini disempurnakan oleh Wan Junaidi dalam satu majlis ringkas di Pejabat Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Aria Putera Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Uda Holdings, Mohd. Salem Kailany.

Sumbangan itu membolehkan pelajar-pelajar daripada keluarga berpendapatan B40 layak menerima bantuan secara ‘one-off’ yang berjumlah RM200 setiap seorang.

Ia merangkumi pembelian baju, kasut dan beg sekolah, malah sumbangan ini melibatkan 1,000 orang pelajar di sekitar kawasan Sarawak sempena dengan Program Kembali ke Sekolah Yayasan Bank Rakyat.

Inisiatif bantuan persekolahan BTS (Back To School) yang sudah memasuki tahun ketiga penganjuran ini memberi manfaat kepada 33,721 pelajar dengan peruntukan sebanyak RM3.07 juta.

Bagi sumbangan untuk mangsa banjir, bantuan dalam pelbagai bentuk bernilai RM200 diberikan kepada setiap keluarga yang telah dikenalpasti terkesan akibat kemusnahan dan kerosakan harta benda daripada musibah banjir.

Seramai 500 keluarga mangsa banjir di sekitar kawasan Sarawak yang memerlukan bantuan keperluan asas bagi kelangsungan hidup akan menerima manfaat ini.

Selain itu, peruntukan sebanyak RM100,000 lagi akan diberikan kepada keluarga mangsa banjir yang terlibat di seluruh negara. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya