Tokong Mek sepi tanpa pengunjung - Utusan Malaysia

Tokong Mek sepi tanpa pengunjung

TOKONG Mek di Kampung Pulai, Gua Musang ditutup sepenuhnya untuk aktiviti keagamaan selama lima hari bermula kelmarin -UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Tokong Swee Nyet Keung atau dikenali sebagai Tokong Mek yang berusia lebih 600 tahun terletak di Kampung Pulai, di sini sepi tanpa pengunjung ketika sambutan Tahun Baru Cina kali ini.

Ini kerana tokong tertua di negara ini ditutup bagi sebarang aktiviti keagamaan selama lima hari bermula Jumaat lalu sebagai mematuhi arahan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Tinjauan mendapati suasana di Tokong Mek suram apabila tiada persiapan meriah seperti tanglung dan hiasan bunga-bungaan seperti tahun sebelumnya.

Pengerusi Tokong Mek, Lew Kew berkata, ahli jawatankuasa mengambil keputusan untuk tidak mahu menerima kedatangan pengunjung tahun ini dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.

Katanya, setiap tahun tokong berkenaan menjadi tumpuan puluhan ribu pengunjung dari dalam dan luar negara setiap kali musim perayaan.

“Tokong Mek akan dibuka semula dengan kehadiran terhad selepas hari kelima Tahun Baru Cina.

“Ahli jawatankuasa tidak mahu buka tokong ini kerana pasti ramai orang datang dan susah untuk mematuhi SOP yang ditetapkan. Selepas hari kelima, kami akan buka tokong seperti biasa bermula pukul 7 pagi hingga 7 malam,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Pulai, di sini semalam.

Tambahnya, 1,000 penduduk kaum Cina di mukim Kampung Pulai di sini meraikan sambutan secara sederhana bersama ahli keluarga terdekat tahun ini.

Sementara itu, seorang suri rumah, Sim Poh Mey, 50, akur apabila tiada tarian singa, acara nyanyian dan jamuan makan di Tokong Mek kali ini.

Katanya, pada tahun ini mereka hanya melakukan aktiviti keagamaan di rumah masing-masing bersama ahli keluarga.

“Kaum Cina akan berkunjung ke tokong ini untuk sembahyang terutamanya apabila mempunyai masalah.

“Tokong tertua ini juga menjadi tumpuan bukan sahaja orang ramai luar negeri ini terutamanya dari Kuala Lumpur dan Johor, tetapi juga negara Singapura akan berkunjung ke sini untuk sembahyang bagi mendapat penyelesaian kepada masalah mereka,” katanya. – UTUSAH ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya