YAN: Kerajaan negeri mengesan tiga buah syarikat dipercayai membuka kilang mengeluarkan produk berasaskan bahan logam secara haram di Gurun dekat sini sejak lebih setahun lalu.
Tapak kilang haram tersebut terletak kawasan bekas kilang syarikat pengeluar besi nasional di negara ini sebelum ini.
Pengerusi Jawatankuasa Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Sains, Teknologi dan Inovasi serta Pengajian Tinggi negeri, Datuk Dr. Ku Abd. Rahman Ku Ismail berkata, kilang terbabit sedang dalam perhatian kerajaan negeri untuk diambil tindakan kerana beroperasi secara haram.
Menurutnya, kilang tersebut dipercayai tidak mempunyai lesen daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSP).
Malah, katanya, syarikat terbabit juga didakwa tidak membayar cukai tanah sejak beberapa tahun lalu.
“Kerajaan negeri bukan sahaja boleh mengarahkan syarikat terbabit menutup operasi tersebut, malah merampas tanah di tapak kilang tersebut yang mempunyai kawasan seluas kira-kira 242 hektar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan komputer riba kepada 10 keluarga yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di pekan Yan di sini hari ini.
Sebelum ini tular video berdurasi 2.47 minit mengenai premis kilang di Gurun yang didakwa beroperasi secara haram selain menggunakan pekerja asing.
Ku Abd. Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guar Chempedak berkata, kerajaan negeri juga mendapat laporan kilang tersebut mempunyai ramai pekerja dalam kalangan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI).
Malah katanya, operasi kilang berkenaan juga dikesan menyebabkan berlaku pencemaran alam sekitar di kawasan berkenaan.
“Operasi kilang haram tersebut telah dibawa ke Mesyuarat Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) sebelum ini untuk tindakan lanjut.
“Beberapa agensi yang terlibat sedang mengkaji tindakan mengikut undang-undang yang boleh diambil terhadap kilang berkenaan,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










