Suspek bunuh 'Adik' didakwa esok - Utusan Malaysia

Suspek bunuh ‘Adik’ didakwa esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Ibu kandung dan bapa tiri kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang ditemui maut dipercayai akibat didera dalam kejadian di Taman Krubong Jaya pada 29 Januari lalu akan didakwa di Mahkamah Ayer Keroh, esok.

Kedua-dua suspek masing-masing berusia 32 dan 38 tahun itu akan berdepan dengan dua pertuduhan iaitu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd. Sukri Kaman berkata, kertas siasatan berhubung kejadian tersebut telahpun lengkap dan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya hari ini. 

“Kedua-dua suspek yang juga merupakan ibu kandung dan bapa tiri kepada kanak-kanak yang maut dalam kejadian di Taman Krubong Jaya pada 29 Januari lalu dijangka akan dibawa ke Mahkamah Ayer Keroh esok untuk pendakwaan. 

“Kedua-dua mereka akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001,” katanya di sini hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, pada 30 Januari lalu seorang kanak-kanak lelaki ditemui meninggal dunia dipercayai akibat didera oleh ibu dan bapa tirinya dalam kejadian di Taman Krubong Jaya. 

Kematian mangsa telah dilaporkan oleh bapa tirinya kepada pihak polis, namun mendakwa, kanak-kanak malang itu meninggal dunia akibat lemas di dalam tong air setinggi 0.6 meter di rumah mereka, kira-kira pukul 4 petang. 

Hasil siasatan dan pemeriksaan pada tubuh badan mangsa bagaimanapun menemukan kesan kecederaan dipercayai akibat didera. 

Kisah kanak-kanak malang itu sebelum ini turut pernah tular di laman sosial Facebook pada Oktober tahun lalu apabila ibu angkat yang menjaganya sejak berusia dua bulan terpaksa menyerahkan semula mangsa kepada ibu kandungnya. 

Dalam klip itu, ibu angkatnya kelihatan menangis teresak-esak ketika mendakap kanak-kanak yang mesra dengan panggilan ‘Adik’ itu buat kali terakhir sebelum diserahkan kepada ibunya. 

Video klip itu ditonton kira-kira tiga juta pengguna Facebook dengan 74,000 kali dikongsi semula.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.