Suri rumah nyaris dipatuk ular tedung selar - Utusan Malaysia

Suri rumah nyaris dipatuk ular tedung selar

DUA anggota APM berjaya menangkap seekor ular tedung selar di sebuah rumah di Kampung Merbau Kudung, Sik semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIK: Suri rumah nyaris dipatuk ular tedung selar yang berada di bawah meja makan di dapur rumahnya di Kampung Merbau Kudung di sini, semalam.

Mangsa, Jamaliah Said, 56, berkata, dia menemukan ular sepanjang 3.35 meter dan seberat lapan kilogram itu ketika ingin menutup tingkap dapur rumahnya pada pukul 7 petang.

Menurutnya, pada mulanya, dia terdengar bunyi sesuatu sedang bergerak di atas lantai di dapur rumahnya itu.

“Saya kemudiannya, memeriksa bunyi tersebut dan terkejut apabila melihat seekor ular tedung selar yang besar sedang melingkar di bawah meja makan itu,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, dia kemudian memaklumkan perkara tersebut kepada menantunya, Norashikin Mhd Hassan, 29, yang berada di dalam rumah sebelum menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk membantu menangkap ular tersebut.

Pada dua minggu lepas, Jamaliah memberitahu, seekor ular jenis yang sama juga telah memasuki bilik air rumahnya.

“Saya melihat ular itu ketika memasuki bilik air itu untuk mengambil air sembahyang kira-kira pukul 6.45 petang dan berjaya ditangkap oleh anggota APM.

“Ular tedung selar yang ditemui semalam kemungkinan pasangan ular yang telah ditangkap dua minggu lalu,” ujarnya.

Sementara itu, Pegawai APM Daerah, Lt. (PA) Haisul Aishah Mohd. Napiah, berkata, mereka menerima panggilan kecemasan tersebut pada pukul 7.21 malam dan terus bergegas ke rumah penduduk terbabit.

“Empat anggota APM bertungkus lumus kira-kira lapan minit untuk menangkap dan menjerut ular tersebut yang agak agresif dengan menggunakan peralatan khas.

“Ular seberat lapan kilogram dan panjangnya 3.35 meter itu didapati telah bersembunyi di bawah kabinet dapur, berkemungkinan cuba mencari tempat yang teduh dan sejuk berikutan cuaca agak panas sekarang,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya