Sorok gelang putih, tiga warga asing ditahan - Utusan Malaysia

Sorok gelang putih, tiga warga asing ditahan

LELAKI warga asing yang memakai gelang putih HSO ditahan selepas gagal mematuhi SOP ditetapkan untuk mencegah penularan pandemik Covid-19 di Kota Tinggi, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Tindakan tiga warga asing cuba menyorokkan gelang putih Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) untuk berjalan-jalan tanpa alasan munasabah membawa padah apabila ditahan petang semalam di kawasan rumah kedai Taman Kota Jaya di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, tangkapan dilakukan kira-kira pukul 6 petang oleh pihak polis bersama anggota Pejabat Kesihatan Kota Tinggi yang melibatkan tiga lelaki berusia 30 hingga 40-an.

Menurutnya, dua lelaki warga India ditahan selepas dilihat keluar berjalan-berjalan tanpa alasan munasabah manakala seorang lelaki Bangladesh ditahan ketika keluar melepak di luar halaman kawasan rumah.

“Warga asing berkenaan gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Kementerian Kesihatan yang telah ditetapkan untuk mencegah penularan Covid-19.

“Kesalahan yang dilakukan adalah gagal memakai gelang putih atau tag kuarantin serta menutup gelang putih dengan cara memakai baju berlengan panjang dan juga menutup gelang tersebut dengan memakai jam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hussin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) 2020.

Kata beliau, pihak majikan ketiga-tiga warga asing tersebut juga telah diambil tindakan kompaun di bawah Peraturan 22(b) Akta 342 kerana gagal mengawal selia pekerja di bawah HSO.

“Polis Kota Tinggi memberi amaran keras dan tidak akan berkompromi dengan individu yang melanggar SOP yang telah ditetapkan dan operasi ini terus dijalankan terutama di tempat-tempat awam melalui pemantauan pasukan Task Force Covid-19,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN