Segerakan sekat Sugarbook - Dewan Ulama Pas - Utusan Malaysia

Segerakan sekat Sugarbook – Dewan Ulama Pas

MOHD NOR HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kementerian Komunikasi dan Multimedia digesa menyegerakan sekatan penuh ke atas laman web, Sugerbook yang didakwa berunsurkan seks pelacuran.

Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Mohd. Nor Hamzah berkata, langkah itu bagi memastikan pengiklanan jahat menerusi laman web tersebut tidak terus mendapat perhatian masyarakat hingga mendorong orang ramai untuk mencuba.

“Kewajaran untuk terus menyekat laman web itu daripada diakses rakyat Malaysia adalah sebagai langkah pencegahan dan dalam masa sama, tindakan lanjut perlu diambil iaitu dengan menyiasat dalang pemiliknya.

“Apa sahaja medium yang membawa kerosakan dengan maksiat sosial adalah menjuruskan manusia ke lembah penzinaan dan perkara ini amat dibimbangi kerana amaran Rasulullah SAW berkenaan ujian akhir zaman apabila penzinaan berleluasa begitu sahaja,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan Malaysia berada pada kedudukan ketiga tertinggi di Asia selepas India dan Indonesia bagi negara yang mempunyai bilangan ‘sugar daddy’ paling ramai melalui laman web terbabit, yang menyediakan platform mencari perempuan simpanan atau lebih dikenali sebagai ‘sugar baby’.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Nor meminta Kementerian Pengajian Tinggi bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di negara ini bagi menyelidik dakwaan pelajar mendaftar dengan laman web itu sebagaimana yang didedahkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri itu berkata, tanpa mengira sama ada benar atau tidak dakwaan tersebut, langkah tetap perlu diambil untuk membersihkan imej IPT sebagai menara gading dan bukannya gudang maksiat.

Sehubungan itu, Mohd. Nor berpendapat, negara memerlukan sukatan pelajaran membabitkan pengisian sahsiah dan jati diri bagi membolehkan nilai-nilai tersebut diterapkan dalam diri pelajar bermula dari sekolah rendah hingga ke IPT.

“Laman web Sugarbook mungkin salah satu daripada isu yang hangat diperkatakan, namun dalam masa sama, statistik turut mendedahkan pengguna internet melayari laman web lucah juga perlu dibendung,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya