Sampai bila Malaysia kena import beras ? - Utusan Malaysia

Sampai bila Malaysia kena import beras ?

KETIKA negara Asia lain sudah mampu mengeksport beras, berbeza pula dengan Malaysia yang masih perlu mengimport makanan ruji itu. Kerja-kerja menuai padi di Guar Sanji, Arau, Perlis.- UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Ketika negara Asia lain sudah mampu mengeksport beras, berbeza pula dengan Malaysia yang masih perlu mengimport makanan ruji itu bagi menampung keperluan penduduknya.

Beras yang dihasilkan dalam tempoh setahun pula menyaksikan Malaysia jauh terkebelakang iaitu sekitar 2.2 juta tan metrik berbanding China (182 juta tan metrik), India (136 juta tan metrik), Indonesia (54 juta tan metrik), Vietnam (34 juta tan metrik), Thailand (29 juta tan metrik), Filipina (15.3 juta tan metrik) dan Korea Selatan, 6.3 tan metrik.

Malah difahamkan, Taiwan yang sebesar Pahang dengan kawasan pertanian sekitar 30 peratus mampu menghasilkan beras bagi menampung keperluan 27 juta penduduknya tanpa perlu mengimport makanan tersebut.

Sebagai rekod, India mengeksport hampir 10 juta tan metrik beras setahun, Thailand (7.6 juta tan metrik), Vietnam (6.58 juta tan metrik), China (2.7 juta tan metrik) dan Myanmar sebanyak 2.7 juta tan metrik setahun.

Malaysia pula terpaksa mengimport lebih 1.2 juta tan metrik beras atau 30 hingga 35 peratus setahun bagi menampung keperluan penduduk di negara ini iaitu sekitar 3.6 hingga 3.8 juta tan metrik.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Kilang Beras Skim Pusat Belian Melayu Kedah/Perlis, Marzukhi Othman berkata, antara faktor penghasilan beras negara masih rendah berikutan perkembangan teknologi dan pengamalan menguruskan ladang atau kawasan sawah masih jauh ketinggalan berbanding negara-negara Asia lain.

Katanya, pesawah hanya mampu menghasilkan kira-kira enam hingga tujuh tan metrik padi bagi kawasan seluas satu hektar berbanding di negara-negara terbabit yang boleh mencecah sehingga 10 tan metrik bagi keluasan sama dengan Malaysia dilihat ketinggalan hampir 40 peratus hasil.

Selain itu, katanya, kerjasama antara agensi pertanian dengan para pesawah juga dilihat masih lemah berbanding negara luar.

“Kita masih ketinggalan daripada soal teknologi khususnya apabila kaedah tradisional terus digunakan khususnya daripada soal taburan benih dan perataan tanah dengan cara membajak serta tabur terus benih yang boleh mengundang risiko penyakit dan penghasilan padi yang merosot.

“Proses perataan tanah dan semaian sepatutnya sudah menggunakan jentera dan teknologi moden termasuk mempunyai kaedah laser dan sistem kedudukan sejagat (GPS) seperti negara-negara terbabit,” katanya.

Menurut Marzukhi, teknologi moden iaitu menggunakan jentera juga mampu menjimatkan penggunaan benih padi.

Katanya, kaedah biasa bagi satu hektar kawasan sawah menggunakan sekitar 140 kilogram benih padi namun kaedah semai dengan jentera boleh menjimatkan benih lebih separuh daripada jumlah itu sekali gus mampu menjimatkan benih 40,000 kilogram setahun.

“Malah, kos pengurusan ladang (sawah) seperti racun rumput, baja, racun serangga dan sebagainya juga dapat dikurangkan selain penghasilan padi dijangka boleh meningkat 20 peratus. Kalau tanah tidak rata boleh berlaku pembaziran air selain percambahan anak padi tidak seragam,” katanya yang juga Pengarah Urusan Dibuk Sdn. Bhd.

Tambahnya, difahamkan, kaedah semai secara terus di sesetengah negara sudah diharamkan dan kebanyakan mereka sudah menggunakan jentera bagi tujuan itu.

“Kaedah tradisional itu boleh mengundang risiko padi angin, rumpai dan lain-lain sekali gus menyebabkan petani perlu mengeluarkan kos yang banyak bagi mengawal masalah itu. Kaedah tabur terus boleh merugikan petani kerana menggunakan benih berlebihan.

“Pemodenan dalam mengusahan tanaman padi membantu mencepatkan produktiviti padi selain pesawah memerlukan pengamalan ladang yang betul,” katanya.

Beliau turut mencadangkan sebuah institut pendidikan berkaitan pertanian khususnya padi diwujudkan di kawasan-kawasan sebelah utara ini yang mempunyai bahagian pembangunan dan penyelidikan (R&D) untuk penanaman tersebut.

“Malah, anak-anak muda yang berilmu dalam bidang tersebut boleh membantu turun ke bendang mengenengahkan cara moden ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN