Rendah akademik punca jadi samseng - Utusan Malaysia

Rendah akademik punca jadi samseng

DR MOHD. ROSNAN ROSLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tahap akademik rendah dan peluang pekerjaan tidak terjamin menyebabkan kaum India paling ramai ditahan kerana terlibat aktiviti gengsterisme di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

Pakar Antropologi dan Sosiologi, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd. Khairuddin Mohad Sallehuddin berkata, berdasarkan Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (MIB), sebanyak 40 peratus atau 695,030 orang India berada dalam kategori B40.

Menurut beliau, golongan tersebut ramai mendiami kawasan rumah pangsa yang memang terdedah kepada budaya gengsterisme.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mereka terpaksa bekerja dengan pendapatan tidak setimpal dan tiada sistem sokongan sosial dan ekonomi yang mampu memajukan mereka.

“Keadaan ini menyebabkan mereka mudah terlibat dengan gengsterisme kerana beranggapan dengan menjadi gangster mereka mendapat lebih banyak wang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Selasa lalu akhbar ini melaporkan, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengesan 72 geng samseng aktif di negara ini dan jika dibiarkan tidak mustahil akan mengundang Malaysia menjadi ‘Chicago 1930-an yang melumpuhkan kedaulatan undang-undang Amerika Syarikat (AS)’.

Berdasarkan jumlah tangkapan di bawah POCA, kaum India kekal lima tahun berturut-turut dari 2016 hingga 2020 sebagai kes jenayah gengster paling tinggi (342) diikuti Cina (97) dan Melayu (30).

Senada dengan Mohd. Khairuddin, Pakar Antropologi dan Sosiologi, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohd. Roslan Rosnon berkata, Kementerian Perpaduan Negara melalui Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) dan institusi sosial lain seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik perlu bersama-sama mengatasi masalah sosioekonomi masyarakat India.

MOHD. ROSLAN ROSNON

Menurut beliau, MIB perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan sebenar agar kaum India mendapat manfaat.

“Kerajaan juga mungkin boleh menambah pengambilan pegawai polis berketurunan India ke Jabatan Siasatan Jenayah Bahagian Siasatan Khas (D9) Polis Diraja Malaysia untuk membantu mendapatkan gambaran lebih baik mengenai penglibatan komuniti itu dalam gengsterisme,” kata beliau.

Selain itu katanya, ibu bapa keluarga India B40 juga perlu mengawasi anak-anak mereka agar tidak terjebak dalam kegiatan samseng.

“Ibu bapa juga perlu mengawal anak-anak agar tidak kerap menonton filem-filem ganas termasuk mempromosikan arak, seks bebas dan gengsterisme,” katanya.

MIB menggariskan dasardasar kerajaan ke arah meningkatkan taraf sosioekonomi komuniti India menerusi suntikan dana dan modal dalam sektor pendidikan dan ekonomi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×