Rayu benarkan pusat cuci kereta, kedai gunting beroperasi semula - Utusan Malaysia

Rayu benarkan pusat cuci kereta, kedai gunting beroperasi semula

MOHD. NORHIESAM ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kerajaan Pusat dirayu memberi kebenaran kepada pengusaha kedai gunting dan pusat cuci kereta beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 yang ketat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Nibong Tebal, Mohd. Norhiesam Ismail berkata, kedua-dua cabang perniagaan itu yang majoritinya dipelopori golongan muda kini semakin tenat dan tertekan untuk bertahan.

Ujar beliau, cabang perniagaan itu sepatutnya dibenarkan beroperasi kerana cukup mementingkan SOP Covid-19 serta kebersihan yang tinggi.

“Adalah jelas perkhidmatan ini beroperasi tanpa melibatkan sentuhan fizikal antara pekerja dan pelanggan serta wujud penjarakan fizikal.

“Seperti kita sedia maklum, pusat cucian kereta juga mempunyai peranan tersendiri dalam membantu masyarakat membasmi Covid 19 ini terus menular hasil pembersihan dan beberapa langkah pencucian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya turut menerima banyak keluhan daripada pengusaha kedai gunting rambut di negeri ini yang kini hilang mata pencarian sejak pelaksanaan PKP 2.0.

Katanya, majoriti pengusaha kedai gunting rambut itu terdiri daripada golongan muda dan dalam kalangan B40 yang terikat dengan penyewaan kedai serta pinjaman perniagaan.

“Kita amat berharap agar kedua-dua sektor ini dapat dibenarkan beroperasi semula demi kelangsungan kehidupan mereka pelaksanaan SOP yang ketat.

“Sekiranya tidak, kita bimbang pengusaha kedua-dua sektor ini akan terus gulung tikar dan paling menyedihkan terpaksa menanggung bebanan hutang yang tinggi,” katanya.

Ujarnya, beliau yakin lanjutan PKP 2.0 yang akan bermula esok akan lebih seimbang pusingan ekonomi sekiranya cabang perniagaan itu dibenarkan beroperasi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN