KUALA TERENGGANU: Agihan kerusi secara menang-menang atau bertanding di semua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lapan Parlimen dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU-15).
Demikian kata dua diberikan UMNO Terengganu terhadap kepemimpinan tertinggi parti berhubung soal pembahagian kerusi dengan rakan sekutu Muafakat Nasional (MN), Pas.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penerangannya, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku menyerahkan kepada kewibawaan UMNO Pusat menentukan kaedah terbaik bagi menyelesaikan kemelut agihan kerusi antara UMNO-Pas di negeri ini yang dikatakan menemui jalan buntu.
Bagaimanapun tegasnya, kepemimpinan UMNO negeri tetap tidak akan sesekali berganjak dengan tuntutan pembahagian kerusi secara menang-menang dalam PRU-15 seperti yang pernah disuarakan sebelum ini.
“Sebab apa nak serahkan Terengganu kepada Pas? Kami sudah beri macam-macam pandangan kepada UMNO Pusat, sekurang-kurangnya buat agihan secara menang-menang biar sama-sama berpuas hati.
“Tafsiran menang-menang itu mungkin bermaksud separuh-separuh iaitu 16 kerusi DUN di samping empat Parlimen tetapi saya tidak tahu, dan terpulanglah kepada Pusat untuk menentukannya,” katanya
ketika ditemui di Pejabat UMNO negeri di sini baru-baru ini.
Menurut Nik Dir, sekiranya tuntutan menang-menang itu tidak dapat dipenuhi maka kepemimpinan tertinggi parti diminta merestui pendirian UMNO negeri untuk bersaing di kesemua kerusi DUN dan Parlimen.
Katanya, tiada lagi istilah bertarung secara anak-beranak dengan Pas, sebaliknya mereka bertekad berlawan secara gengster kerana tiada sebarang kerjasama MN wujud di negeri ini.
“Kalau payah sangat kita minta kebenaran dan keizinan UMNO Pusat agar Terengganu dapat bertanding di semua kerusi, jadi kedua-dua parti kena reda,” katanya.
Nik Dir berkata, UMNO Terengganu bersiap-siaga menghadapi PRU-15 dan yakin mampu merampas semula pentadbiran negeri dengan memenangi sekurangkurangnya 20 kerusi DUN dan empat Parlimen.
“Kenyataan untuk bertanding di semua kerusi memberi keyakinan yang kita boleh menang dan dengan gerak kerja dibuat, sekurangkurangnya kita yakin dapat menang 20 kerusi DUN termasuk mempertahankan 10 kerusi yang disandang,” katanya.










