Pesawah Perlis rugi RM360 juta - Utusan Malaysia

Pesawah Perlis rugi RM360 juta

HASIL padi merosot di Perlis dianggarkan sehingga 30,000 tan metrik dengan kerugian mencecah RM36 juta setahun berikutan pelbagai jenis penyakit khususnya padi angin dan bena perang. Pemandangan dari udara kerja-kerja menuai padi di Guar Sanji, Arau, Perlis. – UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Dianggarkan 30,000 tan metrik hasil padi merosot dengan pesawah di negeri ini mengalami kerugian mencecah RM36 juta setahun berikutan pelbagai jenis penyakit khususnya padi angin dan bena perang.

Masalah yang dikesan berlarutan sejak lebih 10 tahun lalu itu menyebabkan hasil padi merosot dalam tempoh tersebut sehingga 300,000 tan metrik dengan anggaran kerugian mencecah RM360 juta.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Eksekutif Dibuk Sdn. Bhd., Ezreen Muhaizie Marzukhi berkata, berikutan masalah tersebut, pesawah yang sebelum ini mampu menghasilkan enam hingga tujuh tan metrik padi bagi kawasan seluas satu hektar, kini hanya tinggal sekitar lima tan metrik iaitu kemerosotan sehingga 15 peratus.

Katanya, kawalan serta pemantauan lebih awal perlu dilakukan pesawah bagi mengelak masalah tersebut lebih buruk.

Jelas beliau, punca masalah padi angin disebabkan benih tidak berkualiti serta amalan tabur benih padi secara terus.

Bagi mengelak bena perang pula, Ezreen Muhaizie berkata, pesawah perlu memainkan peranan dengan melakukan pemantauan tanaman sejak awal.

“Umur padi dalam tempoh 35 ke 55 hari sepatutnya sudah perlu melalui proses meracun dan jangan tunggu padi sudah 70 hingga 90 hari baru mula meracun. Sesuatu penyakit perlu dicegah lebih awal.

“Selalunya umur padi 30 hari bena perang sudah mula berumah pada tanaman, jadi kita perlu mencegah lebih awal dengan meracun. Sifat pemusnah bena perang akan mula nampak apabila padi berusia 60 hari ke atas dan pada masa itu, sudah tidak boleh buat apa lagi.

“Pesawah sering mengabaikan jadual racun sehingga menyebabkan bena perang merebak. Pesawah perlu ambil perhatian dan penggunaan racun perlu ikut kesesuaian iaitu apabila bena perang tidak mati, kita perlu mencuba racun lain yang ada bahan teraktif berbeza untuk melihat keberkesanan,” katanya.

Jelasnya, proses menanam padi bukannya mudah kerana pesawah perlu menanggung pelbagai risiko khususnya berkaitan penyakit.

Katanya, kerajaan juga perlu memainkan peranan dalam usaha memperkasakan para petani ini.

“Kos pesawah menanam padi bagi kawasan seluas satu hektar dianggarkan sebanyak RM4,700 dan apabila menuai mereka mampu mendapat hasil sekitar RM8,000 iaitu keuntungan sekitar RM3,300.

“Daripada asasnya, pendapatan para petani ini tidaklah banyak namun dalam masa sama perlu menanggung risiko tinggi.

“Jadi, kerajaan perlu mempertimbangkan menaikkan harga subsidi jualan padi daripada RM360 satu tan metrik kepada RM500. Dengan jumlah tersebut, baru petani berani mencuba input-input pertanian lebih berkualiti bagi memberi hasil yang lebih baik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya