Peruntukan RM2 juta sediakan 3,600 peranti percuma - Utusan Malaysia

Peruntukan RM2 juta sediakan 3,600 peranti percuma

AMINUDDIN Harun dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Negeri, Seremban. - UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebanyak RM2 juta diperuntukkan bagi menyediakan 3,600 unit peranti percuma kepada murid di negeri ini yang memerlukan bagi mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, peruntukan tersebut adalah menerusi Tabung Amanah Penyelenggaraan Sekolah Negeri Sembilan sebanyak RM1.5 juta dan Tabung Bina Insan sebanyak RM500,000.

“Seperti sedia maklum, sekolah belum bermula dan tidak tahu bila akan bermula jadi kita putuskan peruntukan dana sebanyak RM2 juta akan digunakan bagi membeli peranti kemudian akan diberikan kepada anak-anak kita yang memerlukan.

“Menerusi peruntukan berkenaan, sebanyak 3,600 unit akan diberikan pelajar dan ia akan diagihkan menerusi Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan setiap pusat khidmat ini akan menerima 100 unit bagi diagihkan kepada murid yang memerlukan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Menurut beliau, semua murid yang layak akan menerima peranti berupa tablet komputer tersebut selepas urusan proses perolehan termasuk menentukan pembekal peralatan tersebut selesai.

“Sebanyak 3,600 unit akan diberikan kepada pelajar yang memerlukan dan kriterianya akan kita nilai, bagaimanapun secara dasarnya kita telah bersetuju dengan setiap peranti tersebut bernilai dalam anggaran RM600 seunit.

“Langkah ini bagi memastikan pendidikan murid-murid termasuk di luar bandar dan mereka yang susah dapat dibantu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN