Permulaan titik hitam undang-undang jenayah syariah  - Utusan Malaysia

Permulaan titik hitam undang-undang jenayah syariah 

MUSA AWANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan pertuduhan liwat di bawah undang-undang jenayah syariah adalah salah dan terbatal dianggap sebagai permulaan titik hitam dalam perundangan syariah.

Tidak cukup dengan itu, keputusan yang dibuat sebulat suara oleh panel sembilan hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat juga dianggap sebagai mengurangkan kuasa Raja-Raja yang merupakan ketua agama Islam di negeri masing-masing dan Mahkamah Syariah.

Menurut Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, keputusan Mahkamah Persekutuan itu akan  membuka ruang kepada lebih banyak pihak untuk mempertikaikan undang-undang syariah sedia ada.

“Keputusan tersebut menunjukkan bahawa selagi mana ada peruntukan tentang sesuatu kesalahan jenayah dalam undang-undang persekutuan badan perundangan negeri tidak mempunyai kuasa untuk menggubal peruntukan sama bagi kesalahan jenayah Syariah.

“Ini akan menyukarkan badan perundangan negeri mengadakan atau menggubal peruntukan berhubung kesalahan-kesalahan jenayah syariah walaupun kesalahan itu adalah dalam kategori kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap “perintah agama” itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, keputusan tersebut juga memberi gambaran awal `menutup pintu’ kepada cadangan untuk melaksanakan undang-undang berkaitan hudud dan qisas di negara ini kerana kesalahan seperti mencuri (sariqah), merompak (hirabah), kesalahan qisas seperti membunuh (al-qatl) juga terdapat dalam Kanun Keseksaan.

Terdahulu, panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara memutuskan pertuduhan liwat di bahawa undang-undang syariah adalah salah dan terbatal.

Ia kerana kuasa untuk menggubal undang-undang sedemikian (liwat) hanya terletak pada Parlimen dan bukannya pada badan perundangan negeri.

Kuasa penggubalan undang-undang negeri hanya tertakluk kepada jenis jenayah yang tidak terkandung dalam undang-undang persekutuan.

Sementara itu, peguam syarie, Datuk Zainol Rijal Abu Bakar berkata undang-undang jenayah syariah adalah undang-undang tanah air sebagaimana yang pernah diputuskan oleh mahkamah sivil negara ini sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan. 

“Kalau kita lihat dalam penghakiman-penghakiman di mahkamah sivil, dalam kes Ramah melawan Laton, penghakiman menyatakan undang-undang Islam adalah undang-undang tanah air kita (lex loci). Jadi adalah tidak betul untuk mengatakan bahawa Kanun Keseksaan adalah lebih dahulu daripada undang-undang syariah,”katanya.

Tambah Zainol Rijal, terdapat banyak kes di Mahkamah Persekutuan sebelum ini yang memberikan definisi terhadap kesalahan berkaitan Islam yang kemudian diperluaskan kepada kesalahan melanggar perintah agama Islam. Jadi sudah tentu liwat terjumlah kepada kesalahan melanggar perintah Islam namun Mahkamah Persekutuan tidak berpendapat begitu (hari ini).

Beliau sempat meminta Peguam Negara mengambil langkah proaktif dengan memulakan siasatan terhadap lelaki berusia 35 tahun yang mencabar kesahihan pertuduhan liwat yang dikenakan terhadapnya mengikut Seksyen 377a Kanun Keseksaan.

“Keputusan untuk menuduh lelaki berkenaan mengikut Seksyen 377a tertakluk kepada bidang kuasa Peguam Negara. Oleh kerana Seksyen 28 telah diisytiharkan sebagai terbatal maka Peguam Negara perlu mengambil langkah proaktif untuk menuduh lelaki berkenaan mengikut Seksyen 377a itu,”katanya.

Mahkamah Persekutuan dalam keputusannya hari ini menyatakan badan perundangan negeri di Malaysia mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang bagi kesalahan yang bertentangan ajaran agama Islam. Bagaimanapun, kuasa itu dibatasi Perlembagaan.

“Berdasarkan Senarai Persekutuan (Federal List), badan perundangan negeri hanya boleh menggubal undang-undang yang tiada di dalam undang-undang persekutuan (federal law),”kata Hakim Tengku Maimun ketika membaca penghakiman ringkas beliau pada prosiding yang dijalankan melalui aplikasi Zoom.

Panel terbabit membuat keputusan itu dalam permohonan seorang lelaki mencabar keperlembagaan peruntukan undang-undang Syariah Selangor yang mendakwanya atas tuduhan cuba melakukan seks luar tabii.

Lelaki itu sebelum ini didakwa dengan pertuduhan cuba melakukan seks di luar tabii dengan seorang lelaki lain di sebuah rumah di Selangor pada 9 November 2018 dan dituduh mengikut Seksyen 28 Enakmen Kesalahan-kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Dia kemudian mencabar pertuduhan tersebut dengan memfailkan petisyen dan memohon deklarasi bahawa Seksyen 28 itu tidak sah.

Turut membuat keputusan sebulat suara itu ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohd. Zawawi Salleh, Datuk P. Nallini, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Zabariah Mohd. Yusof, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya