SHAH ALAM: Kerajaan negeri memberikan pengecualian penuh duti hiburan bagi bayaran masuk ke taman-taman tema di negeri ini berkuat kuasa 18 Mac tahun lalu hingga Disember ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan itu dibuat susulan penularan Covid-19 yang memberi kesan terhadap pengusaha taman tema kerana premis tersebut terpaksa ditutup dan tidak beroperasi sepenuhnya.
Menurutnya, pelaksanaan tersebut akan memberi anggaran kesan kewangan RM26.35 juta kepada kerajaan negeri.
“Kerajaan negeri juga bersetuju mengurangkan kadar duti hiburan daripada 25 peratus kepada lima peratus ke atas setiap bayaran masuk ke taman tema.
“Pengurangan ini adalah selama lima tahun berkuat kuasa mulai 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2026. Implikasi daripada pengurangan kadar ini, kerajaan negeri dianggarkan kehilangan hasil RM21.04 juta setahun untuk tempoh tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini.
Jelas Amirudin, pengusaha taman tema merupakan salah satu pemain utama merancakkan industri pelancongan di negeri ini.
“Perkembangan industri pelancongan akan dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat terutamanya generasi muda melalui peluang pekerjaan serta mempunyai kesan berganda terhadap sektor pelancongan yang lain seperti agensi pelancongan, perhotelan dan pengangkutan
“Mereka memerlukan kos pelaburan semula yang tinggi berbanding pengusaha premis hiburan yang lain dalam pengubahsuaian, penambahbaikan fasiliti bagi menarik pengunjung untuk datang.
“Kerajaan negeri berharap kelangsungan industri dan perniagaan akan lebih terjamin dan nasib para pekerja terutamanya dalam sektor pelancongan lebih terbela dengan kelonggaran yang diberikan ini,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










