Pekerja syarikat lombong pasir maut bot dinaiki terbalik - Utusan Malaysia

Pekerja syarikat lombong pasir maut bot dinaiki terbalik

ANGGOTA bomba sedang mengangkat pekerja sebuah syarikat perlombongan pasir yang mati lemas selepas bot dinaiki terbalik dalam kejadian di Kampung Labuan Dagang, Kuala Langat, Selangor hari ini.-UTUSAN/MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Nasib malang menimpa pekerja syarikat perlombongan pasir apabila ditemukan mati lemas selepas bot dinaikinya bersama empat lagi rakannya terbalik dalam kejadian di  Kampung Labuan Dagang, di sini pagi tadi.

Mangsa, Muhammad Janil Tani berusia 24 tahun yang baharu bekerja dua hari di syarikat itu ditemukan di kedalaman lima meter di sekitar kawasan lombong pasir tersebut.

Difahamkan, lombong pasir itu mempunyai kedalaman lebih 14 meter.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, pihaknya menerima panggilan pukul 8.13 pagi dan tiba di lokasi kejadian 8.52 pagi.

Menurutnya, seramai lapan anggota dan pegawai dari Balai bomba dan Penyelamat Banting dan Shah Alam dikejarkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata, semasa kejadian, kesemua mangsa warga tempatan berusia 20-an menaiki sebuah bot untuk ke tempat kerja mereka di sebuah kapal korek yang terletak kira-kira 20 meter daripada darat.

“Bagaimanapun, dalam perjalanan ke kapal korek tersebut, bot yang dinaiki mereka terbalik dan menyebabkan semua mangsa terjatuh ke dalam lombong. Empat mangsa berjaya berenang ke tebing yang terletak kira-kira tujuh meter dari lokasi kejadian. 

“Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) telah menjalankan operasi pencarian dan menemukan mangsa di sekitar kawasan kejadian sedalam lima meter pada 11.35 pagi yang jaraknya kira-kira tujuh meter dari darat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, mayat mangsa telah diserahkan kepada anggota polis untuk tindakan lanjut. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya