GUA MUSANG: Komuniti Orang Asli di Kampung Sendrop, Tanah Tinggi Lojing, di sini melaksanakan ‘PKP’ sendiri di penempatan mereka dengan cara membina palang besi dan mengawal ketat pergerakan keluar masuk ke kawasan itu.
Mereka mengambil inisiatif demikian bagi mengelak wabak Covid-19 merebak ke kampung mereka yang masih dikategorikan sebagai zon hijau.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Kampung Sendrop, Ahoi Along berkata, sekatan itu dibuat sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 berkuat kuasa 16 Januari lalu.
Katanya, empat kumpulan penduduk akan bertugas menjaga sekatan secara bergilir-gilir bermula pukul 6.30 pagi sehingga 7.30 petang setiap hari.
“Sebelum membuat kawalan keselamatan ini kami sudah meminta kebenaran polis di Pondok Polis Lojing.
“Selepas pukul 7.30 malam, kami tidak benarkan pergerakan keluar dan masuk kecuali untuk hal kecemasan,” katanya kepada pemberita, di sini sesmalam.
Sementara itu, seorang penduduk, Ahad Amai, 32, berkata, dia bersama beberapa orang rakannya secara sukarela menawarkan diri menjaga pintu masuk Kampung Sendrop.
Katanya, mereka terpanggil untuk berkhidmat kerana bimbang dengan kesihatan penduduk kampung dan ahli keluarga.
“Kampung Sendrop terletak berhampiran kebun sayur yang sering menjadi laluan orang luar dan pekerja warga asing keluar masuk secara bebas sebelum ini.
“Sekarang sebelum benarkan mereka masuk, kami akan memeriksa suhu badan dan mencatat nombor kenderaan mereka dulu,” katanya.
Tambahnya, mereka berharap usaha yang dilakukan itu dapat memastikan wabak Covid-19 tidak menular ke Kampung Sendrop yang dihuni 500 penduduk Orang Asli. – UTUSAN










