PASIR PUTEH: Masa depan puluhan kilang keropok dan perusahaan ikan kering kecil-kecilan di sekitar Pantai Semerak, di sini, ‘kelam’ ekoran masalah demi masalah menimpa mereka sejak pandemik Covid-19 menular di Malaysia.
Terbaharu, perusahaan hiliran yang menjadi punca rezeki kepada 1,500 penduduk berdepan masalah bekalan ikan yang serius, ekoran industri perikanan di negeri ini yang hampir lumpuh gara-gara bot laut dalam tidak beroperasi.
Difahamkan, terdapat hampir 100 kilang keropok di situ dan kira-kira 40 daripadanya terpaksa ‘berehat’ sementara waktu berikutan tidak mampu menyerap kenaikan kos ikan yang merupakan bahan mentah utama produk masing-masing.
Pengusaha keropok, Abdullah Mamat, 56, berkata, sebelum ini sumber ikan segar diperolehnya dalam kuantiti 300 kilogram hingga 1,500 kilogram setiap hari dari Jeti Tok Bali, Jeti Pangkalan Petah dan Jeti Kuala Besut.
“Sekarang, Jeti Kuala Besut yang paling dekat dengan sempadan Pasir Puteh juga gagal membekalkan ikan kerana hanya tiga bot laut dalam beroperasi di sana.
“Kami amat terkesan bagaikan menunggu waktu untuk gulung tikar. Permintaan pemborong dan peniaga keropok dari kuar Kelantan gagal dipenuhi. Mahu tak mahu, tempahan terpaksa ditolak buat seketika,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Akhbar ini semalam melaporkan industri perikanan di Kelantan lumpuh selepas bot nelayan laut dalam tidak dapat beroperasi kerana awak-awak asing dari Thailand, Vietnam tidak dapat kembali ke negara ini ekoran penutupan pintu sempadan.
Seorang lagi pengusaha keropok, Mat Hassan Mat Ali, 60, berkata, usaha menghasilkan keropok tidak lagi menguntungkan kerana berdepan kos tambahan apabila terpaksa mengimport bekalan ikan dari Thailand.
“Harga borong ikan selayang dan tamban yang dahulunya hanya RM2.50, kini mencecah sehingga RM4 sekilogram. Jadi harga keropok terpaksa dinaikkan daripada RM10 sekilogram kepada RM13 hingga RM15 sekilogram.
“Saya mungkin hanya mampu bertahan untuk sebulan dua lagi sebelum terpaksa mengalah dan memberhentikan lapan pekerja. Semua kilang keropok menghadapi masalah sebegini,” katanya.
Nasib sama turut menimpa lebih 10 pengusaha ikan kering yang kini hanya menjemur acak kosong berbanding dulu yang dipenuhi lambakan lebih 3,000 kilogram ikan setiap hari.
Salah seorang pengusaha di Pantai Pachakan, Aminah Jusuh, 65, berkata, bekalan ikan untuk memproses ikan kering hanya bergantung kepada hasil tangkapan sampan di pesisir pantai berdekatan.
“Itu sahaja pilihan yang ada selepas bekalan ikan tamban, ikan butir nangka, gelama dan seliat yang sebelum ini diperoleh daripada bot pukat jerut yang sudah lama tiada,” katanya.
Menurutnya, sebelum ini bekalan ikan untuk setiap pengusaha ikan kering di situ adalah sekitar 400 kilogram sehari.
“Sekarang sudahlah sukar dapat bekalan, kalau ada pun harganya mahal berkali-kali ganda. Saya terpaksa tolak tempahan pemborong dari luar Kelantan,” keluhnya. – UTUSAN










