Lelaki warga emas rentung dalam kebakaran pondok - Utusan Malaysia

Lelaki warga emas rentung dalam kebakaran pondok

ANGGOTA bomba memadam kebakaran pondok yang menyebabkan seorang lelaki warga emas maut di Tambun, Ipoh hari ini. - GAMBAR IHSAN JBPM Perak
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang lelaki warga emas ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah pondok di kebun jambu batu di Tambun di sini hari ini.

Identiti mangsa yang dianggarkan berusia 70-an itu bagaimanapun belum dikenal pasti.

Pemangku Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Muhamad Shahrizal Aris berkata, dua jentera bersama sepasukan 14 anggota dihantar ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.55 petang.

Katanya, setibanya anggota di lokasi kejadian, didapati pondok berkenaan telah terbakar kira-kira 90 peratus dan operasi pemadaman segera dijalankan.

“Pada mulanya, pihak bomba menerima maklumat kebakaran lalang namun mendapati kejadian melibatkan kebakaran sebuah pondok.

“Operasi pemadaman segera dijalankan sebelum anggota menjumpai mayat seorang lelaki dalam keadaan rentung di bawah timbunan zink,” katanya.

Menurut beliau, pihak bomba mengambil masa kira-kira lima minit bagi mengawal kebakaran.

Katanya, mayat mangsa di bawa keluar dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN