KUALA LUMPUR: “Apa istimewanya golongan artis dan selebriti tanah air sehingga boleh mengadakan majlis pertunangan dan sambutan hari lahir dengan di kala Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan?”
Itu antara persoalan segelintir warganet yang ‘bengang’ selebriti tanah air dlihat ‘bebas’ dan ‘main langgar’ saja prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.
Malah ketika ada segelintir rakyat dikenakan tindakan langgar SOP, media sosial dibanjiri gambar dan video beberapa selebriti yang mengadakan majlis pertunangan serta sambutan hari lahir dengan bilangan tetamu yang ramai dan meriah sekali.
Rabu lalu, seramai 19 orang termasuk pasangan pengantin ditahan selepas didapati melanggar SOP ketika sesi bergambar di tepi sungai berdekatan Taman Nilam di Langkawi, Kedah.
Mereka dikenakan tindakan kompaun sebanyak RM1,000 setiap seorang atas kesalahan tersebut dan rata-rata komen warganet menyindir sekiranya bukan artis, jangan sesekali melanggar SOP kerana tindakan mesti dikenakan.
Ini kerana, pelakon, Elisya Sandha yang mengadakan majlis pertunangan dengan Uzair Haqimy yang juga anak penerbit dan pelakon, Sheila Rusly Ahad lalu seolah-olah dipandang sepi.
Malah, selebriti media sosial, Fara Mendoza dilihat memuat naik video menunjukkan satu majlis sambutan hari lahir diadakan minggu lalu yang dipercayai dihadiri rakan-rakannya.
Tidak terkecuali majlis pernikahan dilakukan di pejabat agama namun dipercayai jumlah tetamu yang hadir adalah tidak mengikut SOP ditetapkan jabatan agama negeri tersebut.
Persoalannya, adakah wujud ‘double standard’ kerana jika dilihat, kelompok artis dan selebriti media sosial yang ingkar SOP ini tidak dikenakan tindakan sedangkan mereka galak ‘mempertontonkan’ kesalahan sendiri di media sosial.
Adakah hanya kerana mereka bergelar figura awam, jadi apa yang mereka lakukan dianggap ‘halal’ dan pihak berkuasa hanya berpeluk tubuh?
Isu ini dibangkitkan bukan kerana wujudnya hasad dengki kerana mereka boleh melakukan apa yang orang lain dilarang buat. Namun di saat getir ini mereka perlu lebih peka dengan keadaan semasa dan tidak bersikap mementingkan diri sendiri.
Tidakkah menjelikkan di kala Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) sedang merayu dan memperjuangkan nasib hampir 7,000 ahli industri kreatif supaya dibenarkan kembali bekerja, namun kelompok artis ini jugalah yang gagal menunjukkan disiplin yang sepatutnya.
Mungkin bukan semua, tetapi mereka tidak sedar tindakan itu mampu menjejaskan nama baik golongan artis yang menjadi ikutan dan idola masyarakat.
Ini kerana sebagaimana yang kita tahu, golongan artis ini memiliki pengaruh kuat dan cenderung menjadi contoh termasuk bahan bualan orang setiap hari. – UTUSAN










