Lagi lembu penduduk dibaham harimau - Utusan Malaysia

Lagi lembu penduduk dibaham harimau

PENTERNAK Kampung Lubuk Periuk di Hulu Terengganu menemui bangkai lembu yang dipercayai dibaham harimau belang pada Sabtu lalu
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Ancaman harimau belang di Kampung Lubuk Periuk di sini sejak 10 tahun lalu terus berleluasa apabila dua lagi lembu penduduk dibaham haiwan liar itu pada Khamis dan Sabtu lalu.

Kejadian terbaharu itu menyebabkan seorang penduduk, Sumani Mohamad, 59, kerugian lebih RM3,500.

Katanya, kehilangan ternakannya itu disedari semasa pergi ke kandang pada pukul 7 pagi, Khamis lalu susulan tindak-tanduk seekor ibu lembu yang seolah-olah hilang arah mencari anaknya.

“Selepas berusaha mencari, saya percaya ternakan saya dibaham harimau dengan penemuan tapak kaki haiwan liar itu yang masih baharu kira-kira 50 meter dari kandang.

“Pagi kelmarin seekor lagi lembu berusia dua tahun seberat kira-kira 30 kilogram pula dibaham harimau belang selepas bangkainya yang tinggal kepala, perut dan sebahagian kaki ditemui  seorang buruh ladang warga Indonesia di kawasan kebun kelapa sawit,” katanya kepada pemberita ketika ditemui semalam.

Sumani berkata, kawasan kandang lembunya terletak berhampiran sebuah kebun kelapa sawit di Kampung Lubuk Periuk dan kemunculan harimau jantan dewasa tersebut dipercayai berasal dari Hutan Simpan Dungun berhampiran.

Dia juga percaya, haiwan liar sama turut membaham empat lembu penternak sepanjang tahun lalu.

“Sebenarnya masalah harimau yang mengganggu lembu ternakan kami ini bukan baharu, hampir 20 ekor sudah dibaham sejak 10 tahun lalu.

“Namun, sebelum ini, serangan pak belang tidaklah terlalu kerap, tetapi kini, sudah dua lembu mati dibaham dalam tempoh kurang dua bulan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penternak, Muhammad Razif Wadoi, 30, pula berdepan detik cemas selepas bertembung dengan harimau seberat kira-kira 100 kilogram pada petang Jumaat lalu.

Katanya, harimau setinggi lebih 1.4 meter itu didapati melompat dari parit berhampiran kandang lembu ternakan mereka sebelum memasuki kawasan belukar berhampiran.

“Saya sangat gementar dan percaya pak belang masih berkeliaran di kawasan kebun kelapa sawit yang terletak kira-kira lima kilometer dari jalan besar, jadi saya minta pihak berkuasa mengambil tindakan sepatutnya demi keselamatan penduduk dan haiwan ternakan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya