Jangan langgar SOP berbasikal - Utusan Malaysia

Jangan langgar SOP berbasikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis tidak akan berkompromi dan menguatkuasakan kompaun terhadap mereka yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) berbasikal secara berkumpulan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, menerusi pemantauan pihaknya mendapati masih ada mereka yang ingkar dengan mengayuh basikal secara berkumpulan.

Katanya, tindakan itu dikesan berlaku di sekitar Dataran Merdeka, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Raja Laut, Jalan Ampang dan Jalan Merbok.

“Kita juga menerima aduan daripada orang awam berhubung perkara itu, namun apabila polis tiba di lokasi yang dinyatakan, kumpulan pengayuh basikal berkenaan sudah beredar.

“Mereka ‘bernasib baik’ tetapi sekiranya perkara itu berlaku lagi, kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ke atas sesiapa jua yang melanggar SOP yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Zainal berkata, SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Belia dan Sukan menetapkan aktiviti berbasikal hanya dibenarkan berseorangan dan kayuhan tidak melebihi 10 kilometer dari tempat tinggal.

Jelasnya, berbasikal secara berkumpulan adalah tidak dibenarkan sama sekali walaupun keluar dari rumah berseorangan.

“Orang ramai yang didapati ingkar dan tidak mematuhi arahan ini khususnya yang berbasikal di sekitar Kuala Lumpur akan diambil tindakan kompaun di atas ketidakpatuhan itu,” kata beliau.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya dengan menghubungi Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di talian 03-2600 2222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN