fbpx

Hotel jual teh ais ‘ikat tepi’ 90 sen

KAKITANGAN Hotel Raia Penang mempromosi minuman teh ais ikat tepi yang dijual pada harga 90 sen di tepi Jalan Dato Ismail Hashim, Bayan Lepas, Pulau Pinang. – UTUSAN/MUHAMMAD FIRDAUS AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAYAN LEPAS: Pihak pengurusan sebuah hotel di sini menukar strategi dalam menarik semula kunjungan pelanggan dengan mempromosi jualan makanan dan minuman pada harga se­rendah 90 sen di gerai tepi Jalan Dato Ismail Hashim di sini.

Gerai yang mula beroperasi 6 Februari lalu itu adalah hasil idea Pengurus Hotel Raia Penang, Kompleks Tabung Haji Bayan Lepas, Zainal Barkis dengan kerjasama kakitangan bahagian makanan dan minuman (F&B) hotel berkenaan.

Zainal turut sama turun padang mempromosikan lima menu kentang goreng dan minuman terkenal hotel berkenaan iaitu teh ais ikat tepi pada harga 90 sen dan air Mamu CooLicious di tepi jalan.

Pengurus Besar Bahagian Operasi Hotel Raia, Zulkeffli Ahmad berkata, langkah itu diambil bagi memanfaatkan masa pekerja dan gaji penuh yang diberikan pihak majikan kepada kakitangan yang majoritinya berkhidmat lebih 15 tahun dalam sektor perhotelan tersebut.

Menurutnya, dengan adanya konsep jualan gerai itu sekurang-kurangnya dapat membantu kakitangan hotel mengekalkan produksi dan momentum kerja.

“Keutamaan kami adalah memastikan semua pekerja mendapat gaji penuh semasa tempoh sukar ini. Jadi, dengan adanya jualan di gerai ini sedikit sebanyak membantu meringankan beban hotel dalam menjaga kebajikan warga kerja.


“Amat mengejutkan, jualan hasil gerai ini lebih menarik perhatian pelanggan terutamanya di kawasan sekitar berbanding sebelum pandemik Covid-19,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurut beliau, makanan terkenal hotel itu seperti Beef Bolognese Cheese Fries laris dijual lebih 300 set setiap hari termasuk minuman teh ais ikat tepi yang dijual pada hanya 90 sen sebungkus berbanding harga asal RM3.50.

Beliau memberitahu, pihak pengurusan Hotel Raia Penang akan memperkenalkan menu baharu iaitu Nasi Bajet yang dijual pada harga RM5 bagi setiap set dan pasta panas RM7.

Dalam perkembangan sama Zulkeffli menambah, pengurusan Raia Hotel & Convention Centre di Alor Setar, Kedah turut menjual lebih 50 kilogram nasi briyani kepada lebih 1,000 pelanggan di pekarangan luar hotel berkenaan setiap sehari.- ONLINE DONE

POPULAR

KOSMO! TERKINI