Dr. Siti Juita dapat lesen dron dari CASA - Utusan Malaysia

Dr. Siti Juita dapat lesen dron dari CASA

DR. Siti Juita Mastura Mohd. Saleh menjadi wanita Malaysia pertama memiliki lesen Juruterbang Kawalan Dron Profesional yang diiktiraf oleh Lembaga Keselamatan Penerbangan Awam (CASA), Australia di UTHM Batu Pahat, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Pensyarah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr. Siti Juita Mastura Mohd. Saleh menjadi wanita Malaysia pertama memiliki lesen Juruterbang Kawalan Dron Profesional atau Remote Pilot License (RePL) yang diiktiraf oleh Lembaga Keselamatan Penerbangan Awam (CASA), Australia.

Dr. Siti Juita, 39, yang juga Ketua Unit Analisa Struktur bagi projek pembangunan Dron Gergasi Malaysia di UTHM merupakan pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Aeronautik, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) selain mempunyai kepakaran dalam bidang Struktur dan Reka Bentuk Pesawat berkaitan struktur komposit.

“Saya bersyukur kerana diberi peluang berbakti kepada universiti yang menggalakkan kakitangannya untuk terbabit dalam aktiviti komuniti. Saya juga berpeluang untuk menyumbang khidmat bakti dan berkongsi ilmu berkaitan dron kepada komuniti setempat mahu pun masyarakat Orang Asli menerusi program diatur UTHM.

“Berbekalkan semangat dan sokongan rakan-rakan yang berpengalaman dalam pembangunan Sekolah Penerbangan Profesional milik UTHM yang dikenali sebagai Asia Aeronautical Training Academy (AATA), satu akademi dron dijangka beroperasi dalam masa terdekat,” katanya menerusi kenyataan akhbar dikeluarkan UTHM di sini, hari ini.

Graduan doktor falsafah Kejuruteraan Aeroangkasa dari Cranfield University, United Kingdom itu bukan sahaja bergiat aktif dalam bidang penyelidikan, malah menjadi penggerak kepada pembangunan pensijilan aeroangkasa khususnya berkaitan teknologi dron yang kini ditawarkan di UTHM.

Malah, Dr. Siti Juita turut komited untuk meneruskan aktiviti penyelidikan dan pembangunan produk aeroangkasa selari dengan hasrat negara untuk memperkasa industri berkenaan menjelang 2030.

“Peningkatan kepada pengetahuan integrasi sistem terutama berkaitan dron banyak dipupuk melalui projek-projek dron yang dibangunkan bersama-sama pelajar.

“Sehingga kini beberapa graduan UTHM terlibat sebagai pengendali dron profesional terutama pelajar lepasan program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Aeronautik yang dianugerahkan lesen juruterbang profesional yang diiktiraf Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM),” katanya.

Sementara itu, bagi projek Dron Gergasi Malaysia atau dikenali sebagai C-Drone, beliau juga menerima geran penyelidikan daripada UTHM untuk membangunkan prototaip pesawat terbang rendah atau wing-in-ground effect craft dalam kerjasama bersama pihak industri.

Selain itu, Dr. Siti Juita juga terlibat sebagai ahli lembaga pengarah dalam satu syarikat terbitan UTHM, Avitex Solution yang menjalankan aktiviti komersial produk berasaskan dron serta kursus asas pengendalian dron.

“Diharapkan, ia akan memberi peluang kepada UTHM untuk terbabit dengan lebih aktif dalam aktiviti perundingan membabitkan aplikasi dron dalam pelbagai industri,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.