CAC Stadium Malawati bermula esok - Utusan Malaysia

CAC Stadium Malawati bermula esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium tertutup Malawati akan beroperasi bermula esok.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman berkata, CAC berkenaan akan menggantikan CAC Dewan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di SS15 bagi daerah Petaling.

Menurutnya, pengoperasian itu susulan kapasiti stadium itu yang boleh menampung lebih ramai pesakit Covid-19.

“CAC Stadium Malawati boleh menempatkan sehingga 1,500 pesakit berbanding Dewan MBSJ yang mempunyai kapasiti seramai 500 pesakit sehari.

“Keputusan ini dibuat berikutan jumlah kes baharu di daerah Petaling yang meningkat dan Dewan MBSJ akan ditutup,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Setakat semalam, jumlah kumulatif kes di Petaling mencecah 19,609 merangkumi mukim Bukit Raja, Damansara, Petaling, Sungai Buloh dan penjara.

Dr. Sha’ari berkata, CAC berkenaan akan beroperasi Isnin hingga Sabtu sahaja dan berperanan menilai pesakit Covid-19 sebelum menempatkan mereka di hospital, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Serdang atau hanya diarahkan menjalani kuarantin di rumah.

“Selain itu menjalankan penilaian dan pelepasan kepada kes positif yang telah melebihi 10 hari.

“CAC juga turut beroperasi di lapan daerah lain seperti di Klang, Kuala Selangor, Sabak Bernam, Gombak, Hulu Selangor, Hulu Langat, Sepang dan Kuala Langat,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN