KUALA TERENGGANU: Seramai 488 penggiat industri pelancongan di negeri ini yang terjejas akibat pandemik Covid-19 bakal menerima bantuan one-off antara RM250 hingga RM400, dalam masa terdekat.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, peruntukan di bawah Insentif Pandemik Covid-19 berjumlah RM132,200 itu bertujuan meringankan beban golongan berkenaan berikutan kemerosotan pengunjung ke Terengganu.
Katanya, daripada jumlah itu, seramai 50 pengayuh beca di negeri ini akan menerima bantuan RM500 setiap seorang manakala 18 pengusaha bot penambang mendapat RM400 di samping 44 ahli Persatuan Pemandu Teksi Lapangan Terbang (RM250).
“Bantuan sebanyak RM250 turut melibatkan 99 pemandu pelancong yang aktif dan beroperasi di Terengganu diikuti 244 petugas rumah bot dan malim gunung (33 orang).
“Semoga insentif khas ini dapat memberi kelegaan kepada para penggiat industri pelancongan dalam situasi yang penuh mencabar akibat pandemik,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










