PUTRAJAYA: Satu aplikasi pendidikan dalam talian dibangunkan untuk menerapkan kesedaran dan pendidikan mengenai ikhtiar hidup kepada masyarakat bagi mengelak daripada jangkitan Covid-19.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, aplikasi terbabit diperkenalkan pengasasnya, Dr. Peter Chew di mana konsep aplikasi itu mendidik masyarakat menggunakan strategi perlindungan diri paling efektif bagi mengelak jangkitan.
“Beliau tampil ke Kementerian Kesihatan dengan ideanya untuk orang ramai menggunakan aplikasi pendidikan dalam talian.
“Mereka yang menggunakan aplikasi ini perlu mencari semua pembawa Covid-19 yang asympthomatic dan pre symptomatic dalam usaha untuk mencapai ke peringkat seterusnya dalam aplikasi ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuatnaik dalam Facebook miliknya.
Dr. Adham berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan idea dan kerjasama pintar dengan swasta dan sesiapa sahaja individu yang mahu menyumbang pelbagai usaha.
Katanya, sumbangan itu termasuk karya kreatif seperti artikel, siaran di televisyen, video di media sosial, sketsa video, kapsul awam, baner, grafik dan pendidikan di media sosial.
“Di mana sahaja kita mematuhi PKP, sama ada duduk rumah atau bila ada waktu senggang bolehlah ambil cabaran aplikasi ini.
“Mudah-mudahan daripada pengajaran dalam cabaran itu nanti, kita dapat amalkan normal baharu, mematuhi SOP dan seterusnya mengelak diri dan keluarga daripada jangkitan Covid-19,” katanya. – UTUSAN ONLINE









