20 jam lori Malaysia tunggu di sempadan untuk masuk ke Singapura - Utusan Malaysia

20 jam lori Malaysia tunggu di sempadan untuk masuk ke Singapura

Deretan lori terpaksa menunggu lama untuk memasuki Singapura sehingga berlaku kesesakan teruk di Tambak Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Lebih 20 jam berada di atas tempat duduk pemandu untuk membawa lori dari satu tempat ke lokasi lain tidaklah terlalu sukar, namun kali ini cabaran pemandu kenderaan berat itu berbeza ketika hendak memasuki Singapura bagi menghantar barangan.

Situasi itu ekoran pemandu lori dari negara ini yang membawa muatan keperluan asas ke Singapura dilaporkan berdepan kesesakan teruk di sempadan selepas negara jiran itu mewajibkan Ujian Rapid Antigen (RTK) kepada setiap pemandu dan kelindan mereka, sejak minggu lalu.

Berkongsi dengan Utusan Malaysia, seorang pemandu lori dari Kuala Lumpur, Mohd. Riswan Shah Tajudin, 36, berkata, dia pernah menunggu sehingga 23 jam untuk menghantar makanan ringan yang dibawanya melalui Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) di Gelang Patah, dekat sini.

“Saya bertolak dari ibu negara sekitar pukul 7 petang dan tiba di pintu keluar Malaysia kira-kira empat jam kemudian. Selepas itu saya perlu menunggu giliran sehingga pukul 10 malam keesokan harinya pula untuk melakukan RTK di Singapura. Setelah mendapat keputusan barulah boleh teruskan perjalanan menghantar barang.

“Saya difahamkan keadaan ini bermula selepas Malaysia mencatatkan kes positif Covid-19 yang tinggi melebihi 4,000 ke 5,000 kes beberapa kali sebelum ini. Maka kerajaan Singapura mengetatkan prosedur dengan mewajibkan semua melakukan RTK berbanding secara rawak,” katanya di sini, semalam.

Mohd. Riswan yang sudah 17 tahun memandu lori ke Singapura berkata, sepanjang dia bekerja, ini kali kedua dia ‘terperangkap’ lama selepas kali pertama tidak dapat keluar dari Singapura beberapa tahun lalu apabila pihak berkuasa negara itu memburu seorang tahanan yang terlepas.

“Masa itu, tiga hari kami tidak dapat keluar dari Singapura kerana mereka melakukan pemeriksaan yang ketat pada setiap lori. Tetapi, kali ini cabarannya kami berada di atas jalan raya dengan kemudahan terhad,” katanya.

Ketika ditanya bagaimana mereka mengisi perut, dia yang perlu memasuki Singapura tiga kali seminggu memberitahu, pada awal dahulu mereka menumpang lori yang dalam perjalanan pulang ke Malaysia untuk membeli makanan sebelum berjalan kaki semula ke lori masing-masing.

“Hujan panas jangan ceritalah, memang kami berada dalam lori sahaja tetapi selepas beberapa kali,
saya sendiri membawa dapur mudah alih untuk memasak makanan segera selain roti dan paling penting bekalan air masak.

“Selepas kejadian ayam yang dibawa mati kerana terlalu lama berada dalam lori, pihak berkaitan mengkhaskan satu daripada lorong kepada lori yang membawa bekalan segar termasuk sayur-sayuran kerana perkara itu tetap sama kerana jumlah lori yang masuk ke Singapura setiap hari memang banyak,” katanya.

Ujarnya, keperitan itu tetap ditempuhi dengan sabar kerana menyedari tugas mereka membawa bekalan-bekalan dan barangan mentah untuk dihantar ke negara jiran itu.

Sementara itu, tinjauan di Tambak Johor mendapati, deretan lori beratur sepanjang tambak sehingga melepasi Pusat Pemeriksaan Kastam dan Kuarantin Kompleks Sultan Iskandar.

Situasi sama turut dapat dilihat di Linkedua yang menjadi pintu masuk ke Tuas, Singapura.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN