12 saluran TV baharu bakal disiarkan MYTV? - Utusan Malaysia

12 saluran TV baharu bakal disiarkan MYTV?

PENGGUNA dekoder MYTV yang tinggal berdekatan sempadan Thailand kini mampu menikmati hampir 30 saluran televisyen digital dari negara jiran itu. – Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pengguna siaran televisyen percuma tempatan bakal menikmati 12 lagi saluran baharu dalam masa terdekat, sekali gus menjadikan bilangan keseluruhan kepada 29 saluran.

Menurut sumber industri, syarikat penyedia platform digital terrestrial television (DTT), MYTV Broadcasting Sdn. Bhd. sedang giat berusaha memuktamadkan rundingan bagi proses itu.

Jumlah itu, namun, tidak termasuk beberapa saluran baharu yang dicadangkan akan ditambah oleh pihak Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) termasuk TV Pendidikan tidak lama lagi.

“Sekiranya perbincangan tersebut berjaya, pengguna dekoder MyFreeview akan memperoleh sedozen saluran baharu tanpa apa-apa bayaran,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ketika ini, sejumlah 6.2 juta isi rumah di seluruh negara yang menggunakan perkhidmatan MYTV hanya menikmati 17 saluran televisyen dan 14 saluran radio tempatan.

Ini termasuk lima saluran televisyen milik Jabatan Penyiaran Malaysia iaitu TV1, TV2, TV Okey, RTM Sports dan Berita RTM yang dipancarkan secara definisi tinggi (HD) sepenuhnya.

Selain itu tujuh saluran Media Prima Berhad (MPB) iaitu TV3 dalam format HD serta NTV7, 8TV, TV9, Drama Sangat, WowShop Melayu dan Mandarin dalam format definisi standard (SD).

Terbaru, TV Sarawak mula dipancarkan menerusi platform Myfreeview, sekali gus bersaing sengit dengan saluran Awesome TV, Bernama TV, Go Shop dan TV AlHijrah.

“Sekadar perbandingan, jumlah saluran DTT di negara ini dianggap secara signifikan masih lagi sederhana banyak berbanding jiran kita di Singapura dan Brunei sendiri,” kata sumber.

Singapura hanya ada enam saluran yang boleh diterima dengan jelas pengguna MYTV di bahagian selatan Johor manakala Brunei cuma ada tiga saluran dan dapat diikuti di Sarawak.

Bagaimanpun penduduk Johor turut mampu menerima 22 saluran DTT dari Indonesia dalam format HD yang dipancarkan melalui menara penyiaran pemerintah di Sekupang, Batam.

Begitu juga penduduk di Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan yang bersempadan dengan Thailand apabila ‘bertuah’ dapat menonton jelas 27 saluran DTT dari negara jiran tersebut.

Ia susulan tindakan Suruhanjaya Telekomunikasi dan Penyiaran Nasional Thailand yang telah meluluskan sebanyak 48 saluran televisyen percuma tempatan itu dalam format HD.

Sementara di Indonesia, Kementerian Informasi dan Komunikasi republik itu meluluskan 50 saluran DTT dengan ibu kota Jakarta sahaja, penduduknya telah menikmati 32 saluran baharu.

MYTV merupakan sebahagian Projek Pendigitalan Penyiaran Nasional bagi merapatkan jurang digital kelompok berpendapatan rendah B40 tidak mampu menikmati siaran TV berbayar.

Inisiatif itu dilancarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2017 dengan matlamat 80 saluran televisyen dapat dipancarkan dalam jangka masa panjang.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya