UMNO Perak sokong kepimpinan Ahmad Zahid - Utusan Malaysia

UMNO Perak sokong kepimpinan Ahmad Zahid

MOHD. ZOLKAFLY HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Di sebalik desakan terbuka agar Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan, UMNO Perak menyatakan keyakinan terhadap kepimpinan Presiden UMNO itu.

Ketua Penerangan UMNO Perak, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, UMNO Perak wala’ dan menyokong penuh dan sentiasa bersama-sama Ahmad Zahid.

Menurutnya, desakan terbuka oleh pihak tertentu agar Presiden UMNO itu meletakkan jawatan merupakan tindakan yang melanggar peradaban dan tidak beretika serta tidak bermaruah.

Beliau berkata, ahli UMNO sewajarnya menghormati institusi Presiden yang dipilih melalui perhimpunan agung.

“Tindakan mendesak ini yang didorong oleh kepentingan diri, dendam dan tidak bertanggungjawab telah menyebabkan pihak lawan mengambil kesempatan untuk memecah
belahkan dan membangkitkan kegelisahan dalam kalangan ahli-ahli akar umbi.

“Ahli akar umbi penuh yakin UMNO mampu bangkit semula berasaskan kemenangan yang dicapai oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) yang telah diadakan.

“Sewajarnya kita bersatu hati, bantu membantu serta memperkukuh dan perkasakan institusi Presiden untuk menunjukkan kematangan serta perpaduan jitu kepada rakyat untuk kembali memberi ruang agar kembali memimpin dan menerajui kerajaan semula dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengenai kain rentang mendesak Ahmad Zahid berundur yang ditemukan di Kuala Kangsar dan Tanjung Malim semalam, Mohd. Zolkafly berkata, UMNO Perak kecewa di atas tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab yang melakukan perbuatan tersebut.

“Tindakan tersebut tidak beradab dan UMNO Perak menyokong penuh tindakan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim dan Kuala Kangsar yang telah membuat laporan Polis bagi menyiasat dalang yang terbabit,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.