KUALA TERENGGANU: Polis merakam keterangan tiga individu termasuk pemandu bot dan mangsa yang terselamat bagi membantu siasatan kes bot pelancong terbalik di Pulau Perhentian, Besut, dekat sini yang mengorbankan tiga individu termasuk dua kanak-kanak, Sabtu lalu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, setakat ini pihaknya memanggil pemandu bot yang berusia 22 tahun dan abangnya yang berusia 32 tahun serta seorang wanita yang terselamat berusia 39 tahun.
“Setakat ini, kami baru sahaja mengambil keterangan tiga individu dan masih ada lagi keterangan yang perlu diambil untuk lengkapkan siasatan,” katanya pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Terengganu di Ibu pejabat Kontinjen Terengganu, di sini semalam.
Mohd. Khairi berkata, pihaknya akan menyiasat secara terperinci termasuk jika wujudnya kecuaian dan jenayah dalam insiden itu.
“Kami akan memanggil mangsa yang selamat sebab mahu tahu apa sebenarnya yang berlaku. Kita tidak mahu hanya dengar rumors kerana dalam siasatan kita tidak tahu mungkin ada benda lain yang boleh direkodkan sebagai bukti.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam pada Sabtu lalu, S. Arumugam, 40, dan anaknya, A.Sarrvihka, 3, serta seorang lagi saudara perempuan mereka, V.Vennpani, 10, maut manakala dua mangsa cedera termasuk seorang kritikal selain 10 lagi mangsa terselamat.-UTUSAN.










