RM5.3 juta kos baiki Jalan Gua Musang-Lojing - Utusan Malaysia

RM5.3 juta kos baiki Jalan Gua Musang-Lojing

KEADAAN jalan di Kilometer 92, Jalan Gua Musang-Lojing di Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang, Kelantan. -UTUSAN/ AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Jabatan Kerja Raya (JKR) menganggarkan kos sebanyak RM5.3 juta bagi membaik pulih laluan di Kilometer 92, Jalan Gua Musang-Lojing yang rosak akibat tanah runtuh dan banjir lumpur, Ahad lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamad Zulkefly Sulaiman berkata, kerja-kerja baik pulih perlu dilakukan segera kerana dikhuatiri mengancam keselamatan pengguna.

Katanya, tempoh masa diambil untuk membaiki kerosakan itu bagaimanapun bergantung kepada keadaan cuaca di situ.

“Cuaca di Tanah Tinggi Lojing masih hujan dan kita masih mengesan runtuhan baharu di kawasan kejadian menyebabkan kerja-kerja pembaikan jalan tidak dapat diteruskan.

“Paling utama ketika ini, untuk kita buat dahulu laluan sementara bagi kemudahan pengguna dari Gua Musang melaluinya untuk ke Cameron Highlands atau Ipoh, Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat lokasi jalan yang rosak tersebut serta mendengar taklimat oleh Pengarah JKR negeri, Ir. Mohd Suhaili Ismail di sini semalam.

Mengulas lanjut, Mohamad Zulkefly berkata, setakat ini, JKR menerima aduan kerosakan jalan perhubungan akibat bencana di 267 lokasi di enam negeri iaitu Perak, Terengganu, Kelantan, Pahang, Selangor dan Johor pada musim tengkujuh ini.

Katanya, aduan itu termasuk kejadian banjir di 141 lokasi, cerun runtuh (58 lokasi), jalan runtuh (6 lokasi) , jalan mendap (8 lokasi) dan jambatan rosak (3 lokasi).

“Kita berharap orang awam menjaga keselamatan diri ketika melalui jalan di lokasi terbabit,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya