Reman tujuh lelaki kasari polis disambung dua hari lagi - Utusan Malaysia

Reman tujuh lelaki kasari polis disambung dua hari lagi

REMAN ke atas tujuh lelaki yang menghalang penjawat awam bertugas semasa kejadian kemalangan dua remaja di persimpangan lampu isyarat Tanjung Tokong, Pulau Pinang Ahad lalu, disambung dua hari lagi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Reman terhadap tujuh lelaki yang menghalang penjawat awam bertugas semasa kejadian kemalangan dua remaja di persimpangan lampu isyarat Tanjung Tokong, Ahad lalu, disambung dua hari lagi.

Tempoh reman yang dilanjutkan sehingga Isnin depan itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) 2021.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan lanjutan reman ke atas tujuh individu berusia 23 hingga 45 tahun terbabit.

“Polis telah mendapat tempoh lanjutan reman ke atas suspek di Mahkamah Jenayah Majistret sejurus selepas reman ke atas mereka selama tiga hari bermula Selasa lalu tamat.

“Kertas siasatan berhubung kes tersebut telah dimajukan ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk keputusan pendakwaan,” jelasnya.

Isnin lalu, kesemua mereka diberkas di sekitar Jalan Patani dan Tanjong Tokong di sini kira-kira pukul 8 pagi hingga 6 petang.

Tangkapan ke atas mereka dilakukan bagi membantu siasatan berhubung insiden sekumpulan individu disyaki mengepung dan menghalang tugas polis semasa kemalangan membabitkan dua lelaki berlaku kira-kira pukul 5.30 petang Ahad lalu.

Insiden itu menjadi tular dalam media sosial dengan mendapat pelbagai kecaman oleh netizen yang menuduh anggota polis terlibat sengaja menendang motosikal terbabit sehingga kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah.

Polis bagaimanapun menafikan penglibatan anggota berkenaan dan memaklumkan yang dua lelaki tersebut telah melanggar sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat itu ketika melarikan diri daripada anggota polis. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya