Polis tiada kuasa batal kompaun ingkar SOP - Utusan Malaysia

Polis tiada kuasa batal kompaun ingkar SOP

MIOR Faridalathrash Wahid (kiri) mendengar taklimat operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas di Sungai Kinta di Batu Gajah hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak mempunyai kuasa membatalkan kompaun kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19  di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) seperti dakwaan dalam media sosial.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid sebaliknya berkata, pihak polis adalah antara agensi penguat kuasa yang dilantik di bawah Akta 342 bagi menguatkuasakan peraturan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Katanya, polis hanya mempunyai kuasa mengeluarkan kompaun manakala menentukan sama ada terdapat kesalahan atau tidak adalah pihak pejabat kesihatan daerah dan mahkamah.

“Kita tiada kuasa untuk membatalkan kompaun kerana pihak polis hanya diberi kuasa di bawah Akta 342 untuk mengeluarkan kompaun sekiranya didapati terdapat pelanggaran SOP.

“Jadi peranan individu itu untuk menjelaskan kompaun tersebut di pejabat kesihatan daerah atau pegawai kesihatan daerah. Itu tanggungjawab mereka untuk pergi ke sana,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa lemas di Sungai Kinta di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan warga maya di media sosial Facebook yang mendakwa polis mempunyai kuasa untuk membatalkan kompaun PKP.

Isu berkenaan timbul selepas tular seorang remaja perempuan berusia 17 tahun tidak mempunyai keupayaan untuk membayar kompaun RM1,000 yang dikenakan ke atasnya atas kesalahan tidak memakai pelitup muka ketika bekerja di sebuah restoran di Taman Perpaduan dekat Tambun, kelmarin.

Mengulas lanjut Mior Faridalathrash berkata, sekiranya orang yang dikenakan kompaun itu tidak berpuas hati dengan tindakan tersebut, mereka boleh membuat rayuan di mana Pejabat Kesihatan Daerah akan memberi tarikh untuk hadir ke mahkamah.

Katanya, dalam proses tersebut, pegawai yang mengeluarkan kompaun itu juga akan hadir bagi memberi keterangan.

“Pihak polis sangat tegas (melaksanakan SOP), jika mereka tidak berpuas hati kerana masih dikenakan kompaun walaupun mendakwa tidak melakukan sebarang pelanggaran, boleh merayu kepada pejabat kesihatan daerah.

“Kadang-kadang, mereka kata mereka pakai (pelitup muka) sedangkan tidak sempurna, pakai separuh. Itu adalah kesalahan mengikut peraturan di bawah Akta 342,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan agar menyemak setiap maklumat yang diterima dan sekiranya tidak berpuas hati,  boleh merujuk kepada agensi yang bertanggungjawab. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya