Pelaburan terkumpul Iskandar Malaysia cecah RM337.3 bilion - Utusan Malaysia

Pelaburan terkumpul Iskandar Malaysia cecah RM337.3 bilion

ISMAIL IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Iskandar Malaysia mencatatkan pelaburan kumulatif sebanyak RM337.3 bilion sejak 2006 sehingga kini dengan China, Singapura, Amerika Syarikat, Jepun, Belanda dan Korea Selatan mendahului senarai negara pelabur asing di wilayah ekonomi itu.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim berkata, bagi Tahun Kewangan 2020, Iskandar Malaysia menjangkakan pelaburan yang dicatatkan dari Januari hingga Disember adalah RM24 bilion.

Menurut beliau, pelaburan asing sebanyak 75 peratus yang diperolehi antara yang menyumbang kepada jumlah kumulatif itu disamping baki 25 peratus lagi merupakan pelaburan domestik.

“Pada tahun berkenaan juga, pelaburan dalam sektor pengeluaran kekal berada pada kedudukan teratas dalam sembilan sektor ekonomi yang dipromosi Iskandar Malaysia, diikuti sektor logistik, pelancongan, kesihatan dan pendidikan.

“Sektor-sektor dipromosi menyumbang kira-kira 43 peratus kepada keseluruhan pelaburan yang dicatatkan tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Ismail menyertai Mesyuarat Ahli Pihak Berkuasa IRDA bersama-sama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad yang diadakan secara dalam talian.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Bersama IRDA turut memuji pencapaian memberangsangkan Iskandar Malaysia meskipun berdepan kesukaran akibat penularan pandemik Covid-19 selain mengucapkan tahniah sempena ulang tahun Ke-15 koridor ekonomi itu.

Sementara itu, ujar Ismail, antara projek utama dalam sektor pengeluaran yang telah mendapat kelulusan di Iskandar Malaysia tahun lalu adalah melibatkan Shimano Components (M) Sdn. Bhd.; Sapura Technics Sdn. Bhd.; SRE Power Technology Sdn. Bhd.; Baojia New Energy Manufacturing Sdn. Bhd.; Daiichi Seiko (M) Sdn. Bhd. dan Enics Malaysia Sdn. Bhd.

“Infrastruktur asas terutama capaian sistem rangkaian komunikasi terbuka, fleksibel dan berkelajuan tinggi tetap menjadi agenda utama wilayah ekonomi ini sebagai langkah penyelesaian jangka panjang bagi menarik pelabur dan pelancong ke Iskandar Malaysia,” katanya.

Menyentuh mengenai inisiatif gelembung perjalanan, beliau berkata, Iskandar Malaysia mensasarkan individu yang berupaya menyumbang kepada ekonomi tempatan dapat dibenarkan memasuki negara ini yang antaranya terdiri dalam kalangan ahli perniagaan, pelajar antarabangsa atau pelancong yang datang dari negara-negara Zon Hijau Covid-19 seluruh dunia.

Bagaimanapun ujar beliau, gelembung perjalanan ini mestilah mematuhi peraturan yang ketat seperti tiba ke negara ini dengan sistem pengangkutan khas dan hanya dibenarkan melawat lokasi ditetapkan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya