Ops Catut 8.0 pantau peniaga komputer, komunikasi

Ops Catut 8.0 pantau peniaga komputer, komunikasi

PENGUAT kuasa KPDNHEP Terengganu mengeluarkan 10 notis terhadap peniaga dalam Op Catut 8.0 hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna melancarkan Op Catut 8.0 bagi memantau peniaga komputer dan komunikasi di seluruh negara.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, pemantauan selama dua minggu bermula 25 Januari lalu susulan permintaan tinggi barangan itu dalam kalangan pelajar dan ibu bapa.

“Bahagian Penguat Kuasa memantau harga jualan produk komputer, komputer riba, tablet, mesin pencetak, telefon pintar dan perkakasan Internet,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

ROSOL WAHID

Beliau menambah, inisiatif itu ekoran ramai murid terpaksa meneruskan mengikuti kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) disebabkan penutupan sekolah kecuali hanya pelajar peperiksaan awam.

Sehingga 27 Januari lalu ujarnya, 130 premis diperiksa yang meliputi 262 kelengkapan elektronik dan komunikasi dengan kesemuanya dikenakan notis pengesahan maklumat barangan.

Ini juga kata Rosol, bagi mendapatkan rekod harga dan kos pembelian suatu tempoh jika wujud elemen pencatutan di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Peniaga diberikan tempoh dua hari bekerja untuk mengemukakan maklumat dan dokumen kerana sekiranya gagal, ia merupakan kesalahan dan boleh diambil tindakan,” tegas beliau.

Kementerian itu jelasnya, sentiasa memantau barangan tersebut agar tiada peniaga sengaja menaikkan harga sewenang-wenangnya ketika negara bergelut dilanda pandemik Covid-19.

Beliau memberi amaran bahawa penjual yang dikesan cuba mengambil kesempatan tanpa mematuhi perundangan pencatutan akan didakwa di bawah Seksyen 14 (1) akta tersebut.

Mereka ujar beliau lagi, boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi daripada RM100,000 jika disabitkan kesalahan aktiviti mencatut produk komunikasi itu yang kini begitu laris dijual.

“Pengguna turut dinasihatkan supaya menyimpan setiap resit pembelian yang dibuat bagi mengelakkan sebarang masalah mungkin boleh berlaku pada masa hadapan,” kata Rosol.

Pada masa sama, pengguna digalakkan membandingkan harga dan mengetahui tawaran pakej yang menepati ciri-ciri minimum terutama keperluan aspek pembelajaran atas talian.

Justeru, beliau menasihati pengguna agar lebih bijak ketika mendapatkan maklumat dari peniaga terbabit sebelum membuat keputusan untuk membeli produk dijual berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya