MBJB turunkan papan iklan berunsur komunis di Taman Mount Austin

MBJB turunkan papan iklan berunsur komunis

KAKITANGAN MBJB menurunkan papan tanda perniagaan sebuah restoran di Taman Mount Austin yang memaparkan imej ideologi komunis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) telah menurunkan papan iklan sebuah premis makanan di Taman Mount Austin di sini pada Isnin lalu kerana mengandungi unsur-unsur komunisme.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Adib Azhari Daud berkata, papan iklan tersebut mengandungi elemen atau logo bintang satu yang dilihat menyentuh sensitiviti masyarakat. 

“Gambar yang tular dalam media sosial baru-baru ini merupakan gambar lama premis berkenaan sebelum proses ubah suai dijalankan pemilik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Baru-baru ini tular papan iklan di premis tersebut yang memaparkan gambar pemimpin komunis termasuk dekorasi bahagian dalam selain para pekerjanya dikatakan turut berpakaian seperti tentera komunis China.

Terdahulu, tular gambar hiasan dalaman sebuah restoran di Georgetown, Pulau Pinang yang memaparkan elemen komunisme dan pemimpin komunis sehingga menimbulkan pertikaian masyarakat.

Adib Azhari memberitahu, ini merupakan kesalahan terbaharu restoran itu di mana sebelum ini premis berkenaan telah diperiksa dan MBJB mengeluarkan dua notis pada 29 Disember 2019 disusuli notis kedua pada 9 Disember 2020.

“Semasa pemeriksaan pada 29 Disember 2019, MBJB mendapati ada dua buah papan iklan premis perniagaan. Sebuah papan iklan premis mendapat kelulusan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) manakala sebuah lagi iklan tambahan dan tiada kelulusan MBJB. 

“Papan iklan tambahan tersebut telah dinotiskan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Iklan (MBJB) 2010 iaitu iklan tidak mempunyai lesen yang sah daripada MBJB,” ujarnya.

Tambahnya, pada 12 November 2020, hasil pemantauan susulan mendapati papan iklan premis perniagaan yang telah dinotiskan masih tidak dipatuhi pemilik premis.

Sehubungan itu katanya, tindakan penguatkuasaan telah dilaksanakan dengan membuka dan menyita papan iklan tersebut. 

“Notis kedua yang dikeluarkan Jabatan Pelesenan MBJB itu dilakukan di bawah UUK Pelesenan Iklan (MBJB) 2010 iaitu iklan yang tidak melambangkan budaya dan cara hidup masyarakat Malaysia,” katanya lanjut.

Sementara itu, beliau menyeru masyarakat bandar raya ini untuk menyalurkan maklumat kepada MBJB sekiranya terdapat paparan lain yang berunsurkan komunisme atau perkara mengundang sensitiviti masyarakat dalam kawasan MBJB agar tindakan segera dapat diambil.

“Warga Bandaraya Johor Bahru juga diingatkan agar bersama-sama memelihara suasana keharmonian dengan mengelakkan perkara-perkara yang bertentangan dengan norma budaya masyarakat negara ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.