Maqis rampas dua tan buah, sayur-sayuran - Utusan Malaysia

Maqis rampas dua tan buah, sayur-sayuran

KIRA-kira dua tan barang dagangan buah-buahan dan sayuran yang dibawa masuk ke negara ini tanpa permit yang sah dari Thailand dirampas di Padang Besar, Perlis baru-baru ini.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Tiga buah lori yang cuba menyeludup masuk barang dagangan seperti buah-buahan dan sayuran seberat kira-kira 2,061 kilogram bernilai RM9,277 tanpa permit yang sah ke negara ini dari Thailand ditahan di Padang Besar, pada 9 Januari lalu.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) negeri, Mohamad Arshad Raffin berkata, pihaknya menerima serahan kes tersebut daripada pihak Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Padang Besar pada hari yang sama.

Katanya, hasil dari pemeriksaan lanjut  mendapati tiga buah lori tersebut membawa barang dagangan seperti nenas, buah mangga, daun limau purut, buah limau purut, serai, daun bawang, ubi keladi dan bawang merah.

“Barang dagangan yang ditahan itu tidak menepati syarat import yang telah ditetapkan oleh Maqis kerana tidak mempunyai permit import. Oleh itu, dagangan tersebut telah ditahan untuk tindakan lanjut. 

“Perbuatan mengimport barang dagangan tanpa permit import akan disiasat di bawah, Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] yang boleh dihukum dibawah Seksyen 11(3) , akta yang sama.

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya sentiasa komited dalam menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk negara ini bagi memastikan keselamatan pertanian, haiwan, karkas ikan, keluaran pertanian, tanih dan mikrooganisma yang masuk ke negara ini mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya