fbpx

Kriteria peroleh PHD harus diperbaiki

NUURRIANTI JALLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kriteria bagi mendapatkan ijazah doktor falsafah (PhD) di negara ini perlu menitikberatkan pembaikan kelompongan dalam budaya penyelidikan dan inovasi (R&D) institusi-institusi akademik.

Lebih buruk lagi, terdapat segelintir penyelidik atau bakal profesor tidak meletakkan kualiti penyelidikan sebagai keutamaan kerana membudayakan amalan ‘menumpang’ atas hasil kerja orang lain, memikirkan pangkat, jawatan tinggi lantas mengakibatkan hasil penyelidikan terperap begitu sahaja tanpa dikomersialkan secara meluas.

Penolong Profesor Pengajian Komunikasi, Northern State University, South Dakota, Amerika Syarikat, Dr. Nuurrianti Jalli tidak menafikan hakikat tersebut kerana penyelidik sekadar menulis kajian namun tiada kesan besar kepada industri dan seterusnya memberi manfaat masyarakat.

“Saya tersentak ketika pernah berkhidmat di tanah air, penyelidik dari luar negara mengkritik hasil tulisan kajian sains sosial segelintir pensyarah tempatan sebagai substandard. Soalan mereka, kenapa kajian mudah seperti ini perlu lima hingga enam orang penulis?

“Kritikan ini adalah satu kesedaran dan cabaran buat semua penyelidik. Saya sendiri menganggap kritikan itu sebagai cabaran untuk bekerja keras menghasilkan lebih banyak kajian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Kata Nuurrianti, universiti tempatan perlu lebih peka mengenai perkara itu agar budaya kerja dalam penyelidikan boleh dimantapkan ke satu tahap yang lebih baik kerana ramai penyelidik negara terutama pensyarah yang berbakat namun perlu diasah.

“Mereka bersemangat melakukan kajian namun akhirnya hilang semangat kerana sistem universiti yang tidak menyokong mereka. Ada penyelidik tempatan yang sudah terkenal di seluruh dunia kerana kajian mereka berimpak tinggi tetapi sedikit sahaja.

“Oleh itu perlu lebih banyak insentif, latihan dan peluang geran bagi menggalakkan pensyarah atau sesiapa sahaja yang minat dalam bidang penyelidikan yang berimpak tinggi yang boleh digunakan oleh pemain industri dan kerajaan untuk penambahbaikan dalam kehidupan sosial,” katanya.

Akhbar ini melaporkan, banyak hasil R&D penyelidik termasuk di universiti terperap kerana kajian yang dihasilkan semata-mata mengejar pangkat, jawatan tinggi serta mendapatkan PhD selain kajian dijalankan hanya bersifat pengembangan ilmu yang menyebabkan sukar dikomersialkan dalam jangka masa cepat oleh industri.

Terdahulu, tokoh penyelidik, Tun Dr. Arsyad Ayub mendedahkan lebih 2,500 profesor negara ini dikatakan tidak mencapai standard yang diharapkan.

Senada dengan Nuurrianti, penuntut PhD Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur (FSPU) jurusan Alam Bina, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Mohd. Sharul Aikal Baharim, 26, berkata, masalah juga terletak kepada mentaliti dalam kalangan pihak industri dan kerajaan apabila tidak menerima hasil penyelidikan kerana berasa selesa dengan acuan lama.

Ini didorong dengan kebanyakan universiti tempatan yang mahu menghasilkan lebih ramai penuntut PhD namun hasil penyelidikan mereka tidak dapat digunakan kerana gagal menggambarkan keadaan sebenar di lapangan.

“Kita masih terkebelakang dari aspek penerimaan terhadap kemajuan. Apabila kita cadang sesuatu dapatan kajian kepada industri atau kerajaan, mereka tidak terima dan mengadaptasikan kerana kos dan tidak selari dengan kehendak mereka,” katanya.

Penuntut PhD Pendidikan Fizik universiti awam, Izzah Mardhiya Mohd. Isa, 26, berkata, tabiat yang sukar diubah oleh penyelidik apabila kebanyakan kajian mereka hanya menekankan soal jurang ilmu dalam literatur dan tampil dengan idea baharu untuk memberi sumbangan kepada badan pengetahuan namun tidak menyelesaikan masalah secara praktikal.

“Itulah dilema bagi penyelidik. Ia akan menjadi thesis yang terperap di perpustakaan lalu menjadi rujukan untuk bakal penyelidik akan datang. Senario ini berlaku disebabkan oleh kebanyakan kajian yang dibina untuk mengisi jurang penyelidikan namun tidak melihat jurang lebih praktikal berbanding kajian di negara barat yang lebih melihat isu sebenar untuk diselesaikan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

POPULAR

KOSMO! TERKINI