Kontraktor mulakan kerja pemulihan di alur air bermusim 

Kontraktor mulakan kerja pemulihan di alur air bermusim di Hutan Simpan Segari Melintang

KAWASAN alur air bermusim di Hutan Simpan Segari Melintang yang sudah dibersihkan dan ditanam dengan rumput serta pokok meranti temak nipis kini mencapai tahap 20 peratus. - FOTO/SHAARANI ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERUAS: Kontraktor yang terbabit dalam isu tular hingga mengakibatkan kawasan alur air bermusim dekat Hutan Simpan Segari Melintang rosak teruk sebagaimana dilaporkan media baru-baru ini sudah memulakan kerja pemulihan di kawasan berkenaan.

Difahamkan kerja penambahbaikan dan pemulihan kawasan berkenaan yang tercemar akibat pembangunan kuari sudah pun mencapai tahap 20 peratus.

Pengarah Perhutanan Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, kerja pemulihan dan pemuliharaan penanaman rumput dan pokok dari jenis meranti temak nipis bagi mengurangkan impak hakisan dan mendapan.

“Penyelenggaraan telah dimulakan pada Khamis lepas dan setakat ini, ada 40 pokok serta rumput sudah ditanam di kawasan ini.

“Untuk peringkat awal, memang kita arahkan kepada syarikat lakukan pemulihan serta merta di bahagian bawah yang nampak paling kritikal terlebih dahulu bagi mengelak berlakunya keadaan lebih teruk seperti pencemaran air.

“Di bahagian atas masih banyak perlu dilakukan dan itu akan mengambil masa, pihak syarikat bagaimanapun diberi tempoh dua minggu untuk menyelesaikannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kerja pemulihan di kawasan itu hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Mohd. Akmal Kamarudin.

Mohamed Zin berkata, kerja pemulihan yang ditanggung sepenuhnya oleh kontraktor terbabit itu dijangka membabitkan tiga fasa iaitu pembaikan saluran air, cerun dan tanah yang dipantau oleh pihaknya bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Beliau berkata, pihaknya juga tidak akan memperbaharui permit dan lesen kontraktor terbabit sekiranya kerja pemulihan tidak mencapai piawaian dan pelan pemulihan ditetapkan JAS.

“Pemuliharaan ekosistem di kawasan ini yang sebelum ini dipenuhi lambakan sisa pokok dan kayu mungkin mengambil masa yang lama sekurang-kurangnya enam tahun.

“Pokok yang ditanam pun ambil masa 15 ke 30 tahun baru kita boleh nampak, jadi langkah pemulihan awal boleh dilakukan di sini adalah dengan menanam rumput,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak, Datuk Ir. Dr. Ahmad Anuar Othman berkata, kemusnahan kawasan yang disebut sebagai Air Terjun Tanjung Batu itu merupakan alur air bermusim dan air terjunnya muncul pada ketika musim hujan sahaja.

“Apabila tiba musim kemarau, keadaan di sini kering, pada 2019 JPS ada bukti bergambar tiada air mengalir di kawasan ini.

“Berbeza dengan keadaan sekarang kerana ketika ini, musim hujan sebab itu air tetap mengalir dan kita dapati alirannya pun hanya ke kolam sahaja tidak sampai ke laut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya