Keluarga sedia batal majlis sambut menantu jika banjir memburuk - Utusan Malaysia

Keluarga sedia batal majlis sambut menantu jika banjir memburuk

MOHD. IDRIS Che Alas (kiri) dibantu anak dan menantunya membersihkan kerusi untuk tetamu bagi majlis menyambut menantu yang dijadual diadakan esok di Kampung Pengkalan Ajal, Hulu Terengganu.-UTUSAN/Noor Hayati Mamat
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Keluarga kepada pasangan mempelai yang dijadual mengadakan majlis menyambut menantu di Kampung Pengkalan Ajal di sini pagi esok bersedia untuk membatalkan majlis tersebut jika keadaan banjir makin memburuk.

Mohd. Idris Che Alas, 66, berkata, keputusan itu bakal dibuat memandangkan ketika ini kawasan kediaman mereka sudah dinaiki air separas 0.3 meter.

Bapa kepada lima anak itu berkat1a, majlis untuk anak keempatnya, Ahmad Lokman Nilhakim, 28, bersama pasangan, Nor Syamimi Mat Razi, 27, dari Jertih, Besut dijadualkan bermula pada pukul 11 pagi dengan rombongan pengantin perempuan tiba selepas solat Zuhur.

Katanya, kedua-dua mempelai selamat diijabkabulkan pada Sabtu lalu dan segala persiapan sudah diatur termasuk memasang khemah semalam.

“Petang ini pengusaha butik pengantin dijadualkan datang memasang pelamin tetapi semuanya bergantung kepada keadaan semasa banjir dan kita bersedia membatalkan majlis jika situasi tidak mengizinkan.

“Makanan yang ditempah untuk 100 tetamu pula akan dibungkus untuk diagihkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) terdekat di samping penduduk kampung,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Mohd. Idris berkata, kediamannya mulai dinaiki air kira-kira pukul 9 malam tadi dan sepanjang musim tengkujuh ini sudah dua kali rumahnya banjir.

Dalam pada itu, katanya, majlis menyambut menantu itu merupakan yang pertama diadakan dalam keluarga mereka memandangkan tiga anak sebelum ini merupakan perempuan. -UTUSAN 0NLINE

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.