Kasihan warga emas tak mampu baiki rumah usang - Utusan Malaysia

Kasihan warga emas tak mampu baiki rumah usang

TOM Katim berdiri di hadapan rumahnya yang usang di Kampung Baru, Bakar Arang, Sungai Petani, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Begitulah nasib pasangan warga emas yang menghabiskan sisa hidup di rumah usang di Kampung Baru, Bakar Arang di sini.

Jaafar Hassan, 62, dan Tom Katim, 68, yang mendiami rumah tersebut sejak 50 tahun tidak mampu membaik pulih kediaman kerana kesempitan hidup.

Tom berkata, dia dan suaminya yang bekerja mencari umpun-umpun berhasrat untuk tinggal di rumah lebih selesa, namun impian itu terpaksa diketepikan kerana tiada kewangan.

Katanya, mereka yang semakin uzur itu juga tidak dapat keluar mencari umpun-umpun setiap hari

“Mencari umpun-umpun hanya boleh dilakukan mengikut cuaca, musim hujan kami tidak dapat keluar mencari hidupan tersebut untuk dijual sebagai umpan memancing,” katanya di sini hari ini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, struktur rumah papan atas tanah rizab sungai di kampung itu didapati tidak lagi selamat kerana telah reput,

Bahagian dapur rumah pula tidak boleh digunakan dan menunggu masa runtuh menyebabkan dia terpaksa membina bangsal di luar untuk memasak, makan dan berehat.

Selain itu, kedudukan rumah mereka yang terletak di kawasan lebih rendah menyebabkan kediaman tersebut sering dimasuki air apabila hujan lebat.

Namun, rumah berkenaan mempunyai bekalan elektrik manakala bekalan air diberi secara percuma oleh seorang peniaga yang mengusahakan bahan binaan berdekatan rumah pasangan itu.

Menurut Tom, dia mempunyai tiga anak yang telah berumah tangga dan tinggal berasingan, namun disebabkan kehidupan anak-anaknya susah menyebabkan mereka juga tidak mampu untuk membantu membaik pulih rumah tersebut.

“Walaupun anak-anak kami hidup susah, mereka tetap menjalankan tanggungjawab menjaga kami termasuk makan dan minum serta kebajikan lain,” katanya. Menurut Tom, dia tidak pernah memohon bantuan daripada jabatan dan agensi kerajaan untuk meringankan bebannya.- UTUSAN ONLINE

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.