Empat Geng Peter pecah masuk rumah ditahan - Utusan Malaysia

Empat Geng Peter pecah masuk rumah ditahan

SHAMSUL AMAR RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Tindakan Geng Peter melakukan kegiatan pecah rumah teres sejak awal bulan ini berakhir apabila empat ahli termasuk dalangnya ditahan Jumaat lalu.

Kesemua suspek berusia 19 hingga 22 tahun itu ditahan dalam tempoh kira-kira dua jam bermula pukul 11.30 pagi di Taman Sentosa di sini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, penahanan kesemua suspek itu susulan laporan daripada seorang juruaudit berusia 33 tahun mengatakan rumahnya telah dipecah masuk pada 18 Januari lalu.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam di Taman Saujana Jati itu, mangsa telah kerugian lebih RM3,000 apabila suspek melarikan televisyen, komputer riba jenama Lenovo, hard disk dan game boy.

“Hasil siasatan, sepasukan pegawai dan anggota cawangan risikan jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan telah menahan keempat-empat ahli kumpulan termasuk dalangnya dan menemukan televisyen yang dilaporkan hilang bersama sepana.

“Setakat ini, siasatan mendapati geng ini terlibat dengan empat kes jenayah dengan menyasarkan rumah teres di sekitar Klang dan aktif sejak bulan ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Shamsul Amar, modus operandi digunakan geng terbabit ialah tiga daripada mereka akan masuk ke rumah mangsa manakala seorang lagi menjadi pemerhati keadaan sekeliling

Menurutnya, suspek akan memotong mangga pada pintu gril dan mengumpil pintu rumah menggunakan pemotong besi serta pemutar skru.

“Dalang geng ini akan menjual barang kemas hasil pecah rumah kepada kumpulan individu yang membeli emas secara tidak sah dengan berlegar-legar berhampiran kedai pajak gadai sekitar bandar Klang atau dikenali sebagai ‘ulat pembeli emas’.

“Geng ini dipercayai mampu meraih keuntungan kira-kira RM9,000 dan akan dibahagikan antara ahli mereka. Semakan mendapati tiga daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah,” ujarnya.

Tambahnya, pihaknya kini sedang memburu dua lagi Geng Peter bagi membantu siasatan dan semua suspek kini direman selama empat hari serta kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya