Elak kahwin pasangan pembawa Thalassaemia - Utusan Malaysia

Elak kahwin pasangan pembawa Thalassaemia

DR. DON ISMAIL MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pelaksanaan saringan Thalassemia bagi pelajar tingkatan empat sejak 2016 adalah langkah tepat dalam memberi kesedaran kepada remaja sebelum menempuh alam perkahwinan atau sebelum memperoleh cahaya mata.

Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Kesihatan Sekolah, Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Kementerian Kesihatan, Dr. Don Ismail Mohamed berkata, penyakit terbabit boleh dihidapi sesiapa sahaja tanpa mengira umur dan jantina, tetapi, saringan pada umur yang bersesuaian membolehkan kawalan ke atas penyakit ini.

Katanya, dari aspek patologi dan klinikal juga menunjukkan darah membabitkan pelajar tingkatan empat ataupun berusia 16 tahun ke atas mempunyai bacaan parameter seperti orang dewasa.

 “Atas sebab itulah, termasuk golongan itu (pelajar tingkatan empat) adalah tahun tiadanya peperiksaan utama, maka, kami bersama Kementerian Pendidikan menjalankan saringan, malah, ia bertepatan kerana mereka baru menginjak alam remaja sebelum perkahwinan.

“Jika kita buat terlalu awal, sukar untuk mengenal pasti jenis penyakit ini kerana ia mempunyai pelbagai jenis Thalassemia iaitu Alpha, Beta atau Hemoglobin E (HbE). Apabila buat lewat, akan berlakunya keadaan sukar seperti saringan untuk berkahwin atau pun  ketika hamil maka sekiranya kedua-duanya (suami isteri atau ayah dan ibu) adalah pembawa, sudah pastinya anaknya akan ada risiko penyakit,” katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Kempen Kesedaran Thalassaemia 2021, ‘NowyouSEEme 2021’ yang diadakan secara maya di Putrajaya.

Kempen terbabit dirasmikan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba dengan disaksikan Timbalan Menteri Pendidikan 1, Muslimin Yahya dan Pengarah REPSOL Oil & Gas Malaysia Limited, Mr Pablo Ortola Martinez.

Sementara itu, Dr. Adham dalam ucapan perasmiannya berkata, bagi individu yang telah disahkan sebagai pembawa Thalassaemia perlu memastikan pemilihan bakal pasangan hidup adalah betul dan dalam kalangan mereka yang tidak membawa gen penyakit ini sekali gus memelihara keturunan mereka.

Berdasarkan rekod, katanya,sejak 2016 hingga 2018, seramai 689,460 orang pelajar tingkatan empat telah menjalani ujian saringan di sekolah di mana seramai 31,716 orang pelajar telah dikesan sebagai pembawa Thalassaemia. 

“Ini bermakna seramai 464 dalam 10,000 pelajar tingkatan empat yang disaring adalah pembawa Thalassaemia atau lima peratus (seorang dalam setiap 20 orang yang disaring). Taburan pembawa Thalassaemia dalam kalangan mereka adalah berbeza-beza mengikut jenis dan lokasi.

“Data saringan pembawa Thalassaemia pelajar itu pada tahun 2018 menunjukkan kadar pembawa Thalassaemia jenis Beta adalah lebih tinggi di Sabah dan  Labuan iaitu sebanyak 41.4 per 1000 orang pelajar yang disaring,” katanya.

Tambahnya, manakala kadar pembawa Thalassaemia jenis Alpha adalah paling tinggi di Kedah iaitu sebanyak 42.9 per 1000 orang pelajar yang disaring.

“Bagi kadar pembawa Thalassaemia jenis HbE pula, paling tinggi di Terengganu iaitu sebanyak 55 per 1000 orang pelajar yang disaring,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.